Pengurangan risiko bencana secara holistik

KOTA KINABALU, 8 Feb – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan melaksanakan tindakan pengurangan risiko bencana di seluruh negara secara holistik dengan mengambil kira kepentingan manusia, sosio-ekonomi dan alam sekitar.

Beliau berkata perkara itu penting kerana pengurusan bencana di Malayisa khususnya Sabah, mempunyai pelbagai risiko bahaya seperti banjir, tanah runtuh, dan gempa bumi.

“Sebagai contoh di Kota Belud, Sabah, akibat kesan daripada bencana gempa bumi yang berlaku di Ranau Jun  2015… kita menghadapi dua keadaan iaitu keadaan kekurangan sumber air apabila tiba musim panas atau kemarau dan keadaan lebihan air yang menyebabkan banjir pada musim hujan.

“Justeru, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran, dengan kerjasama daripada jabatan-jabatan teknikal lain seperti Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Pertanian dan sedang dalam proses melaksanakan kajian kemungkinan secara bersepadu di Daerah Kota Belud,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Wang Ihsan Bantuan Bencana Negara (Kebakaran) di Putatan dekat sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew, Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Uda Sulai yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Petagas dan Anggota Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari. Wan Azizah berkata kajian berkenaan melibatkan penilaian kecukupan sumber air dan penyediaan pelan pengurusan sumber air bagi tujuan pertanian, domestik dan industri, kajian penilaian risiko bencana serta penilaian impak risiko banjir melalui penyediaan peta bahaya dan peta risiko dengan penyediaan pelan mitigasi bagi meminimumkan impak bencana.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertanya khabar kepada mangsa kebakaran Putatan ketika melawat mangsa di Dewan Putatan hari ini. Turut sama Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew (kiri). – Bernama

“Kajian ini diharap akan menyediakan maklumat dan informasi penting kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam perancangan pembangunan yang mampan dengan mengambil kira aspek risiko bencana dan impak alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata selain daripada pelaksanaan program pencegahan dan mitigasi, Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga menitikberatkan fasa perancangan kesiapsiagaan menghadapi bencana dan pemerkasaan agensi-agensi untuk bertindak balas semasa bencana.

“Saya dimaklumkan bahawa antara inisiatif kesiapsiagaan yang telah dilaksanakan bagi menghadapi Monsun Timur Laut bagi tahun 2018 dan 2019 ialah pemberian peruntukan berjumlah RM235,000 kepada Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah  Sabah,” katanya.

Beliau berkata selain itu, sebagai langkah mitigasi jangka pendek, kerajaan Sabah dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga sedang dalam perancangan untuk melaksanakan projek khas pengorekan dan pengambilan batu dan pasir sungai bagi tujuan mendalamkan Sungai Kedamaian, Kota Belud yang semakin cetek ekoran masalah pengenapan pasca gempa lalu.

“Kerajaan Persekutuan turut menyediakan peruntukan sejumlah RM50 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 bagi melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedamaian dan RM17 juta untuk projek RTB Sungai Gurong-Gurong yang pada ketika ini sedang dilaksanakan, sebagai tindakan jangka panjang untuk mengatasi masalah banjir,” katanya.

Wan Azizah berkata tindakan pencegahan daripada mencipta risiko bencana yang baharu juga perlu diaplikasikan oleh semua pihak dalam kitaran pengurusan risiko yang komprehensif melalui pelaksanaan program mitigasi bagi mengurangkan risiko bencana sedia ada dengan menambah baik perancangan kesiapsiagaan serta tindak balas bencana, selain  pelaksanaan pemulihan semula yang lebih baik.

“Dalam konteks ini, NADMA yang merupakan agensi peneraju utama pengurusan bencana negara bersama-sama dengan Kerajaan Negeri dan agensi-agensi berkaitan dengan sokongan pelbagai pihak seperti universiti, pihak swasta sentiasa berusaha untuk meningkatkan strategi pengurusan risiko .

“Antara program yang dijalankan dengan kerjasama antara NADMA, Jabatan Meteorologi Malaysia, Kerajaan Sabah, Pejabat Daerah Tawau dan Agensi-agensi Responder di peringkat Negeri dan Daerah  adalah menguji siren amaran tsunami di Tawau pada tahun lepas bagi meningkatkan kesedaran komuniti terhadap risiko Tsunami. Oleh itu  perkara seperti  ini perlu diaplikasikan untuk lain-lain risiko bencana di Sabah seperti banjir dan tanah runtuh,” katanya. – Bernama