Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jan – Kadar pengangguran negara berkurangan daripada 6 peratus kepada 5 peratus pada penghujung Disember 2017, dengan 0.3 peratus adalah dari Pusat Pembangunan Kapasiti (PPK), manakala yang lainnya adalah daripada inisiatif-inisiatif lain termasuk i-Ready, Industry Competence Framework (ICF), JobCentre Brunei (JCB) dan lain-lain.
Seramai 619 orang pelatih dari PPK ini telah pun menjadi sebahagian daripada tenaga kerja Loji Petrokimia Hengyi di Pulau Muara Besar (PMB), menjadikan Hengyi sebagai salah sebuah syarikat swasta yang telah memberikan sumbangan signifikan dalam mengurangkan kadar pengangguran itu.
Daripada jumlah tersebut, seramai 308 orang menyertai tenaga kerja Hengyi pada 2 Januari lalu, manakala 311 orang pula menyertai tenaga kerja Hengyi dan berlepas ke Loji Petrokimia Hengyi di PMB hari ini dari Terminal Feri Serasa.
Hadir dan memberikan kata-kata semangat kepada kumpulan kedua ini ialah Pemangku Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Seri Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud; Timbalan Menteri Tenaga dan Perindustrian di JPM, Dato Paduka Haji Jamain bin Haji Julaihi; Setiausaha Tetap Tenaga dan Perindustrian di JPM, Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah dan Setiausaha Tetap Tenaga Manusia dan SHENA di JPM, Haji Kamaludin bin Haji Bungsu.
Kumpulan pelatih ini merupakan antara mereka yang diberikan tawaran pekerjaan bersyarat (COE) daripada majikan semasa dalam latihan dan melaporkan diri untuk bertugas di bawah kontraktor utama projek Hengyi di mana sebagai sebahagian daripada pembangunan perniagaan tempatan (Local Business Development) dan untuk memastikan syarikat-syarikat tempatan dapat menyertai dalam projek berkenaan, lima buah kontraktor utama bagi Projek Hengyi di PMB telah membentuk sebuah syarikat usaha sama dengan syarikat-syarikat tempatan pada masa ini.
Syarikat-syarikat usaha sama tersebut ialah China Sinogy Electric Engineering Co. Ltd/Sahid Sdn Bhd, Joint Venture China Chemical Engineering Second Construction Corporation/Mashhor General Contractor Sdn Bhd, Joint Venture China National Chemical Engineering Third Construction Co. Ltd/Joffren Omar Sdn Bhd, Joint Venture China Construction Installation Engineering Co. Ltd / PTAS Sdn Bhd dan Joint Venture NJNCC (B) Sdn Bhd / Hj Adinin & Sons.
Kesemua pekerja tempatan berkenaan akan menetap dan diberikan asrama penginapan khusus bagi pekerja lelaki dan asrama bagi pekerja perempuan di mana bukan sahaja mereka diberikan makanan sebanyak tiga kali sehari tetapi asrama perempuan dikawal oleh pengawal keselamatan wanita 24 jam.
Apabila jambatan yang menghubungkan Serasa ke PMB siap pada Mei 2018 nanti, pekerja-pekerja tempatan berkenaan akan mempunyai kemudahan untuk bergerak dari dan ke PMB dari kediaman masing-masing.
Kumpulan pelatih ini telah menyertai pelbagai program termasuk pertukangan kayu (woodcraft), pertukangan besi (steelcraft), scaffolder, marker fitter/riveter, blaster painter, pemandu kenderaan berat, insultor dan mason/plasterer.
Salah seorang pelatih yang memulakan tugas dengan Loji Petrokimia Hengyi, Dayang Fatin Nabilah binti Haji Abdullah, 25 tahun dan bertugas sebagai scaffolder ketika mengulas mengenai memilih untuk bertugas di sektor swasta, menyatakan bahawa perkara yang paling penting ialah niat untuk menolong keluarga bagi masa depan, untuk tabah menghadapi cabaran serta untuk menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berguna bagi memajukan diri ke tahap yang lebih tinggi nanti.
Mengulas mengenai cabaran bertugas dalam bidang yang banyak diceburi oleh kaum lelaki, Dayang Fatin Nabilah berkata golongan wanita harus berani menceburi bidang-bidang kerjaya yang mencabar kerana di dalam dunia pada masa ini, peluang pekerjaan adalah terbuka bagi mereka tetapi mereka harus berani tampil ke hadapan untuk meneroka peluang-peluang pekerjaan yang ada yang lebih mencabar.
Ini menunjukkan bahawa semakin ramai anak-anak muda tempatan tidak kira lelaki atau perempuan berani untuk menceburi bidang yang mencabar dalam sektor swasta di mana ia memberikan peluang kepada mereka bukan sahaja untuk menimba pengalaman pekerjaan yang berguna tetapi membantu membina keyakinan serta semangat berdikari mereka.