Pengurus Cincinnati letak jawatan

NEW YORK, 19 FEB – Ron Jans, pengurus pasukan bola sepak MLS FC Cincinnati, telah meletak jawatan di tengah-tengah siasatan yang sedang dijalankan berhubung dengan tuduhan isu perkauman, kelab pasukan tersebut memaklumkan Selasa lalu.

Jans meninggalkan pasukan 12 hari sebelum bermulanya pembukaan kempen liga 2020, yang akan bermula 1 Mac ini menentang New York Red Bulls.

Kelab FC Cincinnati berkata bahawa pengurus berusia 61 tahun yang juga merupakan bekas pengurus pasukan dari liga Belanda, Groningen dan Zwolle, tersebut meninggalkan pasukan di tengah-tengah siasatan dijalankan oleh MLS setelah persatuan permain MLS membuat aduan mengenai ‘komen yang sangat tidak sesuai’.

“Liga Utama Bola Sepak telah menjalankan siasatan dan muncul beberapa petunjuk, Ron telah mengumumkan peletakan jawatan dan kami bersetuju bahawa ini merupakan perkara yang terbaik untuk semua pihak yang berkenaan dengan FC Cincinnati,” menurut presiden kelab, Jeff Berding memberikan keterangan.

“Kami amat menitik beratkan mengenai budaya yang kuat dalam kelab ini, bermula dari bilik persalinan kami, dan setiap individu yang berhubung dengan FC Cincinnati akan merasa dihargai, dihormati dan dipercayai.

“Kepelbagaian kaum dan budaya merupakan bahagian utama yang menjadikan permainan bole sepak ini istimewa, dan kami meletakkannya di kedudukan terpenting untuk menghormati setiap individu yang terlibat dalam perlawanan kami. Ini termasuk semua yang berhubung kait dengan kelab kami, dari bilik persalinan dan meja hadapan, dan terus ke peminat kami.”

Jans, yang telah meletakkan jawatan pada Jumaat lalu, mencatatkan keputusan empat seri untuk FC Cincinnati setelah mengambil alih tugasan Ogos lalu dari pengurus yang dipecat sebelumnya, Alan Koch, pada bulan Mei. – AFP