BANGKOK, 18 MAC – Pengurus hotel kelahiran Malaysia yang berpangkalan di Thailand, Lina Abdullah dipilih sebagai pemenang Anugerah ‘Rising Star Serviced Apartment’ di Kensington, London, pada minggu lepas.
Pengurus Besar Oakwood Hotel and Residence (Oakwood) itu yang terletak di Sri Racha, Chonburi, Thailand dipilih oleh pengurus hotel lain dan pembaca Serviced Apartment News.
Anugerah Serviced Apartment itu merupakan anugerah pertama dan satu-satunya yang diwujudkan bagi industri pangsapuri berperkhidmatan antarabangsa, aparthotel, penginapan sewa jangka panjang dan jangka pendek.
“Saya sangat berbangga dan bersyukur menerima undian pembaca bagi anugerah Rising Star dalam Anugerah Serviced Apartment tahun ini,” katanya kepada Bernama.
Lina, 44, juga pernah dipilih sebagai Pengurus Besar Terbaik Thailand bagi Kategori Hospitaliti oleh CMO Asia pada 2018.
Anak kelahiran Taiping, Perak itu memiliki pengalaman lebih 22 tahun dalam industri di peringkat serantau dan antarabangsa.
Beliau baru-baru ini dilantik sebagai pengurus besar serantau bagi melengkapkan jawatannya sekarang sebagai pengurus besar Oakwood, anak syarikat milik penuh Mapletree Investments – penyedia penyelesaian penginapan utama global.
Ibu kepada seorang anak itu memulakan kerjayanya dalam industri hospitaliti selama lapan tahun di Malaysia dan United Kingdom bersama hotel Marriott. – Bernama