Pengurus restoran didenda kompaun $300

Oleh Daniel Lim

KUALA BELAIT, 11 Mac – Seorang pengurus restoran di Seria, hari ini, telah dikenakan denda kerana perangkap minyak tersumbat dan tidak diselenggarakan dengan betul yang menyebabkan air kotor dan minyak mengalir ke dalam longkang di kawasan awam yang mengeluarkan bau busuk.

Sea Kaw Yang telah dikenakan denda kompaun $300 oleh Unit Penguatkuasaan Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, hari ini dalam atas kesalahan di bawah Seksyen 12 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil Penggal 30.

Pengurus berkenaan diberi tempoh tujuh hari untuk membayar denda, jika gagal boleh dihadapkan ke mahkamah di mana jika sabit kesalahan akan dikenakan denda $1,000. Bagi kesalahan seterusnya, pesalah boleh didenda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.

Sehubungan dengan ini, Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria mengingatkan syarikat-syarikat terutamanya restoran dan kedai makan supaya memastikan perangkap minyak dibersihkan dan diselenggarakan dengan baik kerana ia membantu dalam mengurangkan pencemaran memasuki longkang sekitar.

Orang ramai juga diingatkan supaya membuang sampah ke tempat pembuangan sampah yang ditetapkan dan tidak meninggalkannya di tempat awam. Aduan mengenai insiden pembuangan sampah di tempat awam boleh dibuat dengan menghubungi Unit Penguatkuasaan, Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria di talian 8896108 atau menerusi Talian Darussalam 123.

Gambar yang menunjukkan aliran perangkap minyak yang tidak diselenggarakan dengan betul yang mengeluarkan bau busuk di belakang restoran terbabit. – Gambar oleh Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria