Pengurusan halal daripada perspektif ekonomi, patuh syariah

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Halal, bagi orang  orang Islam yang merupakan tuntutan agama dan perkara asas dalam kehidupan kian menjadi alat perniagaan yang semakin meningkat maju.

Sebagai pengeluar atau pembekal produk perkhidmatan halal, pengusaha perlu mematuhi standard halal agar kesucian halal tidak dicemari.

Ini adalah amanah daripada keseluruhan masyarakat Islam yang perlu dijunjung oleh setiap pengusaha.

Bagi pengusaha Islam, mungkin amanah itu  tidak sukar dilaksanakan namun bagi pengusaha bukan Islam ia mungkin akan menimbulkan kesukaran disebabkan fitnah dan kepercayaan mereka.

Dalam melaksanakan amanah ini, pihak industri tidak berseorangan kerana ia dibantu pihak berkuasa  seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)  bagi memastikan kesucian halal tidak dicemari.

Pemilik salah sebuah pusat penyembelihan bersama pekerjanya bersiap sedia untuk memulakan proses penyembelihan mengikut syarak di Loji Pemprosesan Separa Mekanikal Pusat Penyembelihan baru-baru ini. – Bernama
Beberapa orang petugas giat melakukan proses pembungkusan produk mereka yang telah diiktiraf sebagai produk halal sebelum diedarkan kepada pengedar, stokis dan rangkaian kedai. – Bernama

Pasaran global

Pasaran halal global kini mencecah AS$3.1 trilion yang merangkumi  produk, perkhidmatan dan pasaran kewangan Islam.

Angka ini dijangka terus meningkat disebabkan penerimaan pengguna dan pertumbuhan penduduk Islam dunia  yang mencecah 2.2 bilion pada 2030. Pasaran makanan halal global pula dianggarkan mencecah sebanyak AS$641.5bilion,  manakala Asia mencatat sebanyak AS$391.2 bilion.

Dalam perniagaan, halal adalah suatu jenama dan merupakan salah satu alat pemasaran yang mempunyai daya tarikan yang kuat.

Pengguna mula menyedari bahawa halal bukan sahaja dikhususkan kepada orang Islam tetapi juga bukan Islam kerana ia membawa maksud baik dan menyihatkan, selamat,  kualiti, bersih dan bergizi. Oleh itu, halal dapat diterima kerana ia mempunyai nilai sejagat.

Di Malaysia pihak kerajaan telah memberi fokus terhadap pembangunan industri halal sejak 2006 di mana Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) ditubuhkan bagi tujuan menyelaras perkembangan industri manakala Jakim/Main berperanan memberi pengesahan halal serta memantau produk dan perkhidmatan diberikan adalah halal.

Pengurusan halal dari perspektif ekonomi

Halal dianggap sebagai sumber ekonomi baharu Malaysia. Kerajaan memberi fokus kepada pembangunan industri halal dan menjadikan sebagai agenda penting negara itu. Pembangunan halal dimasukkan dalam Pelan Induk Industri Halal dan juga Rancangan Malaysia Kesebelas.

Peningkatan dalam industri berkenaan menyakinkan pihak kerajaan untuk terus memberi fokus kepada perkembangan industri ini.

Berdasarkan Thomson Reuters State of Global Islamic and Economic Report 2015/2016, Malaysia dinobatkan sebagai negara Islam terbaik di kalangan 73 buah negara, yang berjaya membangunkan ekonominya dengan maju.

Laporan yang sama juga turut meletakkan Malaysia di tempat pertama dalam kategori Makanan Halal, Kewangan Islam dan Pelancongan Halal serta berada di dalam kedudukan lima negara teratas bagi kategori farmaseutikal dan kosmetik.

Berdasarkan perkembangan ini, HDC optimis bahawa industri halal mampu menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih tinggi daripada sasaran awal iaitu RM19 bilion pada 2020.

Perkembangan ini telah menarik banyak pengusaha untuk terlibat dalam industri halal negara.

Mereka berlumba-lumba untuk mendapatkan peluang perniagaan dalam bidang tersebut. Namun, seperti disebutkan di atas, halal adalah amanah besar yang dipikul oleh pengusaha dan kesuciannya perlu dijaga.

Dari perspektif perniagaan isu halal sangat sensitif dan mempunyai risiko yang tinggi. Kesilapan dalam mentadbir urus perniagaan halal boleh menyebabkan syarikat mengalami kerugian besar.

Ini boleh dilihat dalam beberapa kes terdahulu seperti roti High 5 (Silver Bird Group), kerugian sebanyak RM18.25 juta pada sukuan pertama 2007 dan isu Coklat Cadbury sekitar 2014.

Kedua-dua perniagaan ini mengalami masalah perniagaan yang teruk disebabkan  pengguna hilang kepercayaan.

Walaupun undang-undang memperuntukkan hukuman berat namun untuk mengembalikan kepercayaan pengguna bukanlah perkara mudah.

Tadbir urus cekap diperlukan

Tadbir urus dan pengurusan halal yang cekap amat diperlukan bagi memastikan masalah seperti di atas tidak timbul dan sekiranya wujud ia boleh diatasi dengan cepat dan mudah.

Di peringkat nasional, tadbir urus dan pengurusan halal dibantu oleh pihak berkuasa seperti Jakim/Main dan KPDNHEP. Namun, setiap organisasi juga digalakkan untuk mewujudkan sistem tadbir urus sendiri.

Perkara paling penting dalam tadbir urus dan pengurusan halal adalah memastikan integriti halal terus dilaksanakan. Bagi menjamin integriti halal setiap organisasi perlu memastikan tiga perkara ini dilaksanakan sepenuhnya.

Pertama melantik eksekutif halal, kedua melaksanakan audit dalaman dan ketiga mewujud dan melaksanakan sistem pengurusan jaminan halal (HAS) sepenuhnya.

Eksekutif halal berperanan pihak bertanggungjawab dalam organisasi bagi memastikan produk atau perkhidmatan diberikan adalah patuh syariah. Dalam konteks ini eksekutif halal perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk memastikan segala proses di syarikatnya dilaksanakan mengikut syarat-syarat ditetapkan.

Audit dalaman berperanan mengenal pasti proses pengeluaran yang perlu ditambah baik, serta merekod ketidakpatuhan dan memastikan tindakan pembetulan dilakukan dengan segera.

HAS adalah satu sistem pengurusan halal bagi memastikan dan memelihara integriti halal suatu produk atau perkhidmatan.

Pengurusan patuh syariah

Asas utama dalam industri halal adalah setiap perkara dianggap halal selagi mana tidak ada nas yang jelas tentang keharaman perkara tersebut. Terlalu sedikit perkara yang diharamkan oleh nas syarak.

Perkara utama pematuhan syariah dalam industri halal adalah tidak melanggar batasan yang ditetapkan oleh syarak.

Prinsip syariah boleh didapati daripada Al-Quran, al-Hadith, pandangan para ulama, Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Undang-undang dan Standard.

Perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah industri halal berkembang sejajar dengan perkembangan sains dan teknologi.

Pada zaman silam, perbincangan tentang halal hanya melibatkan makanan tetapi hari ini ia telah melangkaui barang gunaan lain. Oleh kerana halal banyak melibatkan proses, sains dan teknologi maka penentuan status halal sesuatu produk menjadi semakin sukar.

Secara umumnya produk halal mestilah tidak mengandungi bahan daripada haiwan haram, najis, anggota manusia, bahan yang memabukkan, bahan yang merbahaya dan tidak diproses secara tidak halal.

Cabaran

Kewujudan pelbagai agensi melibatkan industri halal di negara ini sedikit sebanyak menimbulkan kekangan terhadap pertumbuhan industri halal negara.

Namun pihak berkuasa mengambil beberapa pendekatan bagi mengatasi masalah ini dengan memperkenalkan Akta Perihal Dagangan 2011 bagi menggantikan Akta Perihal Dagangan 1975 di mana hanya pihak berkuasa berwibawa boleh memberi sijil halal kepada industri berkelayakan.

Selain itu cadangan mewujudkan Akta Majlis Halal Negara juga diharap dapat mengurangkan masalah ketidakseragaman dan pertindihan kuasa ini.

Di peringkat antarabangsa ketidakseragaman standard halal juga menjadi kekangan kepada pemain industri terutamanya apabila ketidakseragaman itu menimbulkan kekeliruan atau menghalang pergerakan produk. Usaha untuk mewujudkan suatu piawai yang standard atau sekurang-kurangnya harmonisasi standard halal perlu dilakukan.

Pengesahan halal masih menjadi masalah di kalangan Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS). Kebanyakan mereka tidak mampu memenuhi keperluan pensijilan halal. Pihak kerajaan diharapkan memandang serius mengenai perkara ini dan tindakan sewajarnya diambil bagi memastikan pertumbuhan industri halal dapat berlaku dengan baik.

Bagi memastikan industri halal terus berkembang, pihak industri patut mengorak langkah untuk melaksana halal, bukan hanya untuk memenuhi keperluan standard halal tetapi memelihara amanah yang diberi dengan penuh tanggungjawab dan beretika bahkan juga mementingkan keselamatan serta kesihatan pekerjaan di tempat kerja. – Bernama