Wednesday, April 24, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Pengurusan hutan mapan jadi keutamaan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan Jabatan Perhutanan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Pengurusan hutan yang lestari memainkan peranan amat penting dalam mengimbangi kepentingan hutan terhadap kepentingan daripada aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar.

    Perkara itu dikongsi oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin (gambar) ketika menghadiri Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bagi Menteri-menteri yang Bertanggungjawab Terhadap Perhutanan ke-5 (MMRF5) secara maya, hari ini.

    Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap II di KSSUP, Dayang Noralinda binti Haji Ibrahim dan pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Perhutanan.

    Yang Berhormat Dato turut mengongsi antara pelan tindakan Negara Brunei Darussalam dalam memastikan hutan negara kekal utuh dan berdaya tahan melalui rancangan penggazetan hutan sebagai hutan simpan negara dan beberapa program lain termasuk aktiviti utama tahunan Jabatan Perhutanan seperti program-program yang diadakan bersempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa yang disambut pada 21 Mac setiap tahun dan program penanaman pokok beramai-ramai.

    Negara Brunei Darussalam, jelas Yang Berhormat Dato, akan terus meningkatkan hubungan kerjasama rapat serantau APEC bagi sama-sama membincangkan dan menyelesaikan apa juga isu yang timbul bagi memastikan hutan kekal diurus secara mampan di rantau ini.

    Mesyuarat MMRF 5 diadakan di Chiang Mai, Thailand dengan dipengerusikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Sumber-sumber Asli Kerajaan Thailand, Tuan Yang Terutama Varawut Silpaarcha.

    Mesyuarat itu bermatlamat untuk memupuk kerjasama yang lebih erat dalam menangani isu-isu serantau termasuk peningkatan liputan hutan, membanteras perdagangan produk-produk perkayuan daripada hasil pembalakan haram dan mengurangkan kesan perubahan iklim terutama dalam era pasca COVID-19.

    Mesyuarat mengambil maklum akan tema APEC 2022 iaitu Open.Connect.Balance dan model ekonomi, Bio-Circular-Green, yang diterapkan dan diintegrasikan daripada tiga pendekatan ekonomi termasuk melalui teknologi dan inovasi yang menghasilkan nilai, mengurangkan bahan buangan dan mempromosikan model perniagaan yang mampan.

    Antara yang menjadi teras keutamaan APEC pada tahun ini, sidang menteri menekankan usaha-usaha secara global dalam menangani kesan perubahan iklim melalui peningkatan penyerapan karbon dan mempercepatkan usaha-usaha dalam mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG).

    Mesyuarat juga mengetengahkan kepentingan perundangan yang mengawal aktiviti-aktiviti pembalakan dan perdagangan perkayuan daripada sumber yang sah yang memenuhi piawaian pensijilan hutan bagi setiap ahli ekonomi APEC yang mana perkara ini adalah selaras dengan hala tuju KSSUP.

    Selain itu, menteri-menteri ekonomi APEC semasa mesyuarat tersebut juga bersetuju untuk mengeluarkan kenyataan bersama dikenali sebagai Chiang Mai Statement yang antara lain menekankan perlaksanaan Wawasan Putrajaya Visi 2040 APEC melalui Pelan Tindakan Aotearoa.

    Menteri-menteri juga mengambil maklum mengenai pencapaian APEC 2020 Forest Cover Goal yang telah dinyatakan dalam 2007 Sydney APEC Leaders’ Declaration on Climate Change, Energy Security and Clean Development, yang mana liputan hutan di rantau ini meningkat sebanyak 27.9 juta hektar antara 2007 hingga 2020, melangkaui sasaran awal sebanyak 20 juta hektar menjelang 2020.

    Akhir sekali, menteri-menteri dan pegawai-pegawai kanan yang bertanggungjawab terhadap perhutanan juga telah merakamkan penghargaan dan sokongan terhadap usaha dan penglibatan semua ekonomi APEC dan agensi-agensi yang berkepentingan dalam pengurusan dan pemulihan hutan yang mampan dan di dalam menangani isu berkaitan hutan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...