Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Pengurusan kes positif dikemas kini

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 FEB – Pengurusan kes-kes positif di pusat-pusat pengasingan akan tertumpu kepada kes-kes dalam kategori 3 hingga 5 yang memerlukan rawatan perubatan sahaja.

    Manakala bagi kes dalam kategori 1 dan 2 akan dibenarkan menjalani pengasingan diri di rumah.

    Setiap keluarga atau isi rumah akan diberikan pek kesihatan yang mengandungi beberapa keperluan seperti kit ujian pantas antigen (ART), alat pemantau tahap oksigen dalam darah (oximeter), ubat-ubatan ringan dan risalah maklumat kesihatan.

    Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam hari ini di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

    Sementara itu, bagi memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan, menurut Yang Berhormat Dato, Kementerian Kesihatan sedang bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC) dan Syarikat Comquest 5 Sdn Bhd, yang mengendalikan Talian Darussalam 123 (TD123), bagi perlaksanaan tugas-tugas seperti penilaian status kesihatan kes-kes yang baru disahkan positif COVID-19; pemantauan kes-kes positif yang menjalani pengasingan diri di rumah; dan penghantaran kit ART serta pek-pek kesihatan bermula esok (15 Februari).

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa menjelaskan mengenai pengemaskinian tatacara peng-urusan kes-kes positif, kelmarin.

    Jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi, pengesahan status jangkitan COVID-19 akan dikembangluaskan kepada penggunaan ART iaitu tidak hanya bergantung kepada ujian swab RT-PCR sahaja.

    Walau bagaimanapun, orang ramai yang bukan merupakan kontak terdekat kepada kes positif dikehendaki mempunyai dua ujian ART yang positif dan seterusnya mendaftarkan keputusan ujian ART positif tersebut di portal www.moh.gov.bn/ARTreport atau dengan menghubungi TD123.

    Yang Berhormat Dato turut menjelaskan bahawa pengesanan kontak akan lebih memfokuskan kepada kontak-kontak terdekat, kontak-kontak yang berisiko tinggi dan vulnerable groups yang lain di mana kontak-kontak terdekat ini adalah dikehendaki untuk melaporkan status kesihatan masing-masing melalui Self-Assessment Tool aplikasi BruHealth.

    “Tempoh kuarantin bagi kontak-kontak terdekat telah dikemas kini kepada lima hari di mana mereka dikehendaki menjalani ujian ART pada hari pertama dan hari ke lima serta hanya dibenarkan menamatkan kuarantin jika kedua-dua ujian ART adalah negatif,” kata beliau.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga berkata bahawa kontak-kontak terdekat boleh menggunakan kit ART yang diperolehi sendiri. Walau bagaimanapun, kontak-kontak terdekat yang memerlukan kit ART juga boleh menghubungi TD123.

    Pada sidang media tersebut, Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengumumkan bahawa Jabatan Perdana Menteri juga telah mengeluarkan Garis Panduan Bertugas bagi Pegawai dan Kakitangan Kerajaan yang Telah Diberikan Kod Merah dalam aplikasi BruHealth.

    “Dalam pada itu, kontak-kontak lain seperti secondary contacts tidak lagi dikehendaki untuk menjalani kuarantin dan adalah dinasihatkan untuk memantau sendiri status kesihatan masing-masing dan membuat ujian ART jika mula menunjukkan simptom-simptom jangkitan,” jelasnya.

    Sementara itu, menurut Yang Berhormat Dato, Kementerian Kesihatan juga telah bekerjasama dengan Unified National Networks Sdn Bhd (UNN) bagi penghantaran pesanan ringkas kepada mereka yang telah disahkan positif COVID-19 dan mempunyai kod BruHealth berwarna ungu bermula esok.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menasihatkan kepada orang ramai untuk memastikan nombor telefon mereka telah dikemas kini di dalam akaun Bru-HIMS masing-masing.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China kecewa AS guna veto halang Palestin anggotai PBB

    BEIJING, 19 APRIL - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) gagal meluluskan draf resolusi untuk menerima Palestin sebagai anggota rasmi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)...