Pengurusan Pelabuhan Labuan laksana langkah ketat bendung COVID-19

LABUAN, 29 MAC – Pengendali pelabuhan kontena Labuan iaitu Labuan Liberty Port Management (Sdn Bhd) melaksanakan 10 langkah melindungi pekerja dan pengguna kemudahan itu selepas salah seorang pelanggannya disahkan positif COVID-19, semalam.

Susulan itu seramai empat pekerja pelabuhan itu menjalani ujian COVID-19 hari ini. Labuan mencatatkan lima kes jangkitan baharu semalam, menjadikan 10 kes COVID-19 setakat ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Mohd Alias Abd Rahman berkata pihak pengurusan pelabuhan itu telah mengambil langkah proaktif, termasuk melaksanakan aspek penjarakan sosial dalam kalangan kakitangan dan pengguna pelabuhan.

Langkah lain adalah mematuhi sepenuhnya arahan semasa, meningkatkan kawalan jangkitan di antara mereka dan mana-mana individu yang melakukan transaksi di pejabat pelabuhan manakala semua kakitangan diwajibkan menggunakan penutup hidung dan mulut pada setiap masa. Selain itu, semua pengguna pelabuhan dan individu yang mempunyai transaksi dalam terminal pelabuhan juga dikehendaki sentiasa memakai penutup hidung dan mulut atau tidak dilayan serta diminta segera beredar dari pelabuhan itu.

Dalam pada itu, semua pembayaran dibuat secara sistem dalam talian dan penggunaan sarung tangan getah bagi menerima dokumen berkaitan. Pekerja dan pengguna pelabuhan itu juga dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan tahap kebersihan dengan menggunakan cecair pembasmi kuman setiap 20-30 minit manakala ejen perkapalan atau wakil mereka juga perlu akur dengan penjarakan sosial dan tidak dibenarkan memasuki bilik di pejabat pelabuhan itu. – Bernama