Pengurusan penyelenggaraan jalan berturap Sabah kurang cekap

KOTA KINABALU, 21 APRIL – Pengurusan penyelenggaraan jalan berturap di Sabah oleh konsesi atau kontraktor penyelenggaraan adalah kurang cekap dan tidak mencapai objektif penyelenggaraan jalan yang ditetapkan sepenuhnya, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018, Siri 2, dikeluarkan semalam, berdasarkan Road Condition Index pada 2018,55.3 peratus jalan berturap negeri berada di bawah skala 3 (sederhana) dan skala 4 (teruk) yang memerlukan penyelenggaraan berkala, manakala 4.5 peratus berada di bawah skala 5 (jalan tidak boleh disenggara) yang memerlukan kerja pembinaan semula.

Pengauditan dijalankan antara Oktober 2018 hingga Januari 2019 itu turut mendapati wujud kelemahan dalam aspek pencapaian kewangan, kualiti kerja penyelenggaraan, pentadbiran kontrak dan pemantauan yang perlu ditambah baik untuk meningkatkan kecekapan pengurusan penyelenggaraan jalan di Sabah.

Pengurusan penyelenggaraan jalan berturap Sabah adalah di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri. Sementara itu, antara penemuan Audit yang perlu diberi perhatian adalah pelaksanaan penyelenggaraan berkala pavement bagi 160 jalan berturap negeri dengan panjang 668.51 km melibatkan anggaran kos berjumlah RM198.97 juta terpaksa ditangguhkan. – Bernama