Pengusaha bas ekspress tagih bantuan kerajaan

SIBU, 18 JUN – Pengusaha bas ekspres yang bernaung di bawah Persatuan Syarikat Pengangkutan Bas Sarawak (SBTCA) yang terjejas pendapatan mereka berikutan penularan COVID-19 memohon bantuan kerajaan bagi meneruskan kelangsungan operasi mereka.

Setiausaha kehormat SBTCA William Chan berkata setakat ini, sebuah syarikat ahli persatuan itu sudah menghentikan operasi sementara manakala sebuah lagi menggantung operasi kerana tidak mampu menampung kos operasi.

“Lapan lagi syarikat yang bernaung di bawah SBTCA kini masih lagi bertahan tetapi hanya dibenarkan beroperasi pada kadar 50 peratus berbanding sebelum COVID-19 berikutan pelaksanaan ketat prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, pakej keenam Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 6.0) yang diumumkan kerajaan negeri baru-baru ini tidak menyenaraikan pengusaha mahupun pemandu bas ekspres sebagai penerima bantuan sedangkan mereka terkesan teruk sejak penularan penyakit ini berlaku.

“Sebelum penularan COVID-19 di Sarawak, ahli persatuan ini mengendalikan 164 bas ekspres dengan 331 pemandu pada kadar purata penumpang 60 peratus, namun kini hanya tinggal 101 buah bas dan 226 pemandu membawa hanya lima peratus kadar purata penumpang,” katanya. – Bernama