Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Pengusaha batik hasil hampir 1,000 helai kain sehari

    Gambar Bernama

    KOTA BAHARU – Cuaca panas ekstrem yang melanda Kelantan sejak beberapa minggu lepas memberi peluang kepada pengusaha batik di negeri ini melakukan semua aktiviti berkaitan penghasilan tekstil itu dengan lancar.

    Malah menurut pengusaha batik, Mohd Nawawi Mat Rifin, 42, aktiviti menjemur untuk mengeringkan kain batik menjadi lebih cepat berbanding biasa.

    “Sebelum ini proses mengeringkan kain batik di ampaian mengambil masa antara tujuh dan lapan jam, tetapi dalam keadaan cuaca panas luar biasa ini proses menjadi lebih singkat iaitu kira-kira tiga jam sahaja.

    “Ini memberi kelebihan kepada pengusaha batik mengeluarkan produk lebih banyak bagi memenuhi permintaan pasaran,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Badang di sini.

    Menurutnya dalam keadaan cuaca ketika ini pengusaha batik mampu menghasilkan
    hampir 1,000 helai kain batik sehari.

    Pekerja batik, Mohd Arif Maliki melakukan proses menerap batik pada kain.
    Pekerja batik, Muhd Hilmi Abdullah mengangkat kain batik yang sudah dikeringkan.
    Pekerja batik, Mohd Irfan Firdaus Shamsul Kamal menunggang motosikal roda tiga untuk memunggah kain batik yang sudah kering.

    Nawawi yang mewarisi perusahaan batik daripada bapanya sejak 30 tahun lepas, berkata kerja-kerja mencanting batik juga berjalan lancar apabila lilin yang digunakan terus kering sempurna selepas dilukis atau dicop.

    “Bagi batik cap, tekapan lilin terus kering sempurna selepas kerja-kerja mengecap dilakukan. Cuma untuk memastikan coraknya kemas, kain batik yang telah dicap jangan terus dilipat,” katanya.

    Isterinya, Norbaizan Basir, 33, pula berkata rekaan kaftan dan jubah antara produk yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan ketika ini.

    Katanya dalam keadaan cuaca panas, kerja-kerja menghasilkan kain batik untuk dua jenis produk itu dapat dilakukan tanpa sebarang masalah oleh 70 pekerja di premis perniagaannya.

    “Cuma sayangnya, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini permintaan kain batik agak menurun.

    Itu senario biasa dalam industri ini yang ada naik turun,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...