Pengusaha gim persiapkan pembukaan operasi

Oleh Ak Zaki Kasharan 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Usaha-usaha dan langkah telah dirancang dan dilaksanakan oleh pelbagai pihak dalam memastikan kesejahteraan orang ramai sentiasa terjamin menjelang fasa peralihan yang mana lebih banyak sekatan dilonggarkan dan perniagaan-perniagaan serta perkhidmatan yang sebelum ini terpaksa ditutup akibat penularan COVID-19 di seluruh negara kini dibenarkan dibuka semula.

Antara perniagaan tersebut ialah operasi gim dan pusat kemudahan sukan. Sehubungan itu wartawan Media Permata telah menemui seorang pengusaha gim dikenali sebagai Coach Wadud dari Dudgym bagi mengetahui persiapan yang dijalankan di gimnya sebelum bermulanya pembukaan semula pada 19 November ini.

Beliau mengongsikan perasaan gembira apabila mengetahui mereka boleh kembali beroperasi seterusnya membantu orang ramai menjalani kehidupan yang lebih sihat. Beliau bagaimanapun melahirkan sedikit kebimbangan terhadap sikap sebahagian orang yang kurang mematuhi arahan ditetapkan, misalnya dalam mengamalkan penjarakan fizikal, tidak menggunakan pelitup muka dan lalai mematuhi SOP yang ditetapkan.

Buat masa ini, pihaknya secara berterusan berusaha untuk membersihkan setiap sudut gim tersebut sebelum ia beroperasi selain melakukan nyahkuman setiap beberapa jam digunakan kelak.

“Pemeriksaan secara terperinci akan dilakukan dari segi memastikan semua individu mendapat dos vaksin lengkap dan mempunyai kod BruHealth berwarna hijau dan memeriksa suhu badan serta memastikan jumlah pengunjung dan pengguna yang hadir tidak melebihi kapasiti yang dihadkan,” jelasnya semasa mengongsikan perancangannya dalam memastikan penularan COVID-19 dikawal di gim tersebut.

Pada masa yang sama, Coach Wadud turut menasihatkan pelanggannya supaya mematuhi segala arahan yang ditetapkan dan memastikan tidak berada di dalam gim melebihi dua jam untuk memberikan peluang kepada pengguna yang lain menjalani latihan mereka.

Pekerja gim memastikan peralatan gim dibersihkan dan dinyahkuman sebelum pembukaannya pada fasa peralihan kelak.