Pengusaha kedai makan luah rasa teruja

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Beberapa pengusaha restoran tempatan di negara ini menzahirkan rasa teruja dan kesyukuran berikutan pengumuman peningkatan kadar operasi sebanyak 60 peratus kapasiti restoran dan medan selera serta kafe yang diumumkan kelmarin.

Seorang tukang masak yang ditemu bual semasa tinjauan Media Permata di salah sebuah restoran di Kampung Jerudong, hari ini, meluahkan rasa lega dan gembira apabila mengetahui mengenai pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial berkenaan.

Joseph Bakam berkata, jumlah pengunjung di restoran mereka sedikit sebanyak bertambah sejak pengumuman sebelumnya yang membenarkan restoran dan kafe di negara ini untuk menerima pelanggan makan di sana dan ia merupakan suatu petanda yang baik bagi perniagaan mereka apabila bertambahnya jumlah pelanggan ke restoran mereka.

“Namun apabila diumumkan lagi bahawa restoran di negara ini dapat beroperasi pada kadar 60 peratus daripada kapasiti biasa pada satu-satu masa, ia lebih menggembirakan para pemilik perniagaan di sektor pemakanan di negara ini kerana dapat melayani lebih ramai pelanggan dalam satu-satu masa beroperasi,” ujarnya.

Jelasnya, pada permulaan restoran tersebut kembali beroperasi, jumlah pelanggan yang datang untuk makan di sana kurang mendapat sambutan disebabkan ramai yang masih ragu dan belum memahami cara penggunaan aplikasi BruHealth yang dipamerkan di restoran tersebut.

“Namun lama-kelamaan orang mula memahami cara penggunaan aplikasi BruHealth dan sudah terbiasa untuk menggunakannya, barulah jumlah pengunjung yang datang sini mula meningkat,” tambahnya.

Mengulas mengenai aplikasi BruHealth, Joseph berkata, ia sememangnya suatu perkara baharu yang positif dan baik untuk dipraktikkan bukan saja semasa penularan wabak COVID-19 ini, malahan bagi masa yang akan datang kerana dengan cara itu kita akan dapat mengesan tahap kesihatan masing-masing selain pengunjung yang memasuki mana-mana premis.

Beliau seterusnya berharap keadaan di negara ini akan kembali pulih seperti sebelumnya dan terhindar daripada wabak COVID agar orang ramai tidak perlu merasa bimbang untuk keluar rumah dan kembali menjalani aktiviti seharian seperti biasa.

Pelekat untuk mengingatkan pelanggan supaya sentiasa mengamalkan penjarakan sosial.