Pengusaha kripto di Kota Samarahan curi elektrik

KUCHING, 2 SEPT – Lima pengendali perniagaan mata wang kripto di Kota Samarahan dikesan mencuri bekalan elektrik bernilai sekurang-kurangnya RM100,000 sebulan dalam operasi yang dijalankan bersama Sarawak Energy Berhad (SEB), Unit Pemeriksa Elektrik (EIU), Kementerian Utiliti Sarawak dan polis, baru-baru ini.

Pengendali tersebut dipercayai menjalankan kegiatan secara aktif dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lima buah rumah kedai dengan anggota operasi menemukan sistem pendawaian yang tidak selamat digunakan untuk memintas meter pengukur penggunaan elektrik dalam premis berkenaan.

“Ketegangan wayar tidak mengikut spesifikasi dan tergantung di tangga dan ini mudah menyebabkan kebakaran dan renjatan elektrik kepada penghuni,” menurut SEB dalam kenyataan hari ini. – Bernama