Pengusaha makanan digesa jangan ambil remeh isu alam sekitar

KUALA LUMPUR, 5 OGOS – Pengusaha makanan digesa agar tidak mengambil remeh kepentingan penjagaan alam sekitar terutamanya berkaitan penyelenggaraan sistem perangkap lemak, minyak dan gris (FOG).

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang bulan Mac dan Jun, terdapat sekitar

20,000 insiden melibatkan paip pembetungan awam tersumbat disebabkan FOG.

Menurut beliau, perkara itu yang melibatkan premis penjualan makanan yang menghasilkan sisa FOG akan menyebabkan paip pembetungan tersumbat dan air sisa kumbahan yang tersekat akan melimpah ke lurang-lurang pembetungan sekali gus mencemarkan sumber air dan sungai.

“Tanggungjawab menjaga alam sekitar bukan tanggungjawab kerajaan sahaja tapi tanggungjawab kita bersama,” katanya dalam ucapan perasmian pada majlis tandatangan perjanjian perkhidmatan pengosongan sistem perangkap lemak, minyak dan gris antara Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dengan Nusa Baiduri Sdn Bhd. – Bernama