Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 10 Mac – Bagi membantu pengusaha-pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam menceburi bidang perniagaan yang meluas, Darussalam Enterprise (DARe) telah mengundang pengusaha-pengusaha PKS tempatan untuk melawat ke Golden Corporation Sdn Bhd di kawasan Perindustrian Serambangun, Tutong, petang tadi.
Lawatan tersebut merupakan salah satu inisiatif DARe untuk mengundang syarikat-syarikat PKS di negara ini bagi mendekati syarikat pelaburan langsung asing (FDI) yang bergiat aktif seperti Syarikat Golden Corporation Sdn Bhd sebagai pengusaha terkenal di negara ini.
Syarikat Golden Corporation Sdn Bhd merupakan salah sebuah syarikat FDI dari Taiwan yang bekerjasama dengan Semaun Marine Resources Sdn Bhd.
Syarikat tersebut menjadi pemimpin dalam industri akuakultur Brunei dan beroperasi sebagai kilang pemprosesan makanan laut utama yang pertama di negara ini.
Dalam lawatan tersebut, rombongan pengusaha PKS telah mendengarkan taklimat yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Golden Corporation, Desmond Lim. Turut hadir ialah Pengarah Urusan Golden Corporation Sdn Bhd, Richard Chuang.

Kemudian, rombongan membuat lawatan di mana mereka turut berpeluang menyaksikan secara lebih dekat proses-proses satu produk (seperti ikan atau udang) yang boleh dipelbagaikan kepada beberapa produk seperti Fishcakes, bebola ikan, keropok dan sebagainya.
Golden Corporation ketika ini telah membekalkan sebanyak 2000 kilogram udang yang dikupas dalam sebulan untuk diproses menjadi keropok tempatan.
Pada masa ini, syarikat tersebut turut mengalu-alukan dan membantu PKS tempatan untuk menceburi perusahaan seperti mereka iaitu dengan menyediakan bahan-bahan mentah seperti udang yang sudah pun dikupas, surimi dan ikan-ikan segar serta membantu mereka dari segi aspek-aspek lain seperti pemprosesan dan sebagainya.