Pengusaha restoran tidak sabar nanti kepulangan pelanggan

Oleh Yusrin Junaidi 

Berikutan penurunan kes jangkitan wabak COVID-19 dan sasaran vaksinasi hampir mencapai 70 peratus, Negara Brunei Darussalam akan memulakan fasa peralihan tidak lama lagi setelah berita menggembirakan penduduk di sini itu diumumkan semalam (9 November).

Fasa yang akan bermula pada 19 November itu telah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Antara intipati utama dalam fasa itu ialah langkah-langkah pengawalan mula dikurangkan secara berperingkat, mengikut garis panduan yang disesuaikan.

“Sebagaimana kita semakin hampir untuk mencapai sasaran 70 peratus, di sinilah akan bermula fasa peralihan iaitu satu fasa di mana langkah-langkah pengawalan yang telah dilaksanakan sebelum ini akan mula dikurangkan secara berperingkat.

“Pengurangan sekatan-sekatan ini akan dilaksanakan mengikut garis pan-duan yang disesuaikan yang bertujuan untuk mengawal lebih baik serta mengelakkan kesan jangkitan yang teruk melalui pelaksanaan strategi-strategi seperti program pemberian vaksin penggalak dan pembukaan premis dengan kapasiti terhad dan keutamaan kepada individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap,” jelas Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew.

Wakil dari Restoran dan Katering Bee Wah, semasa rakaman online, mengatakan pihak restoran akan memastikan kebersihan dan penyusunan kerusi meja mengikut SOP yang telah ditetapkan dan mempersiapkan mental bagi pekerja-pekerja adalah penting agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik.
Pengurus Restoran Sotorindu cawangan Sengkurong dan Sotorindu Baker, Hajah Nurul Nadia Syazalina berkata merasa sangat gembira kerana dine-in mula dibenarkan pada 19 November ini.
Selepas hampir empat bulan negara kita mengetatkan pelbagai aktiviti, kesemua tempat makan akan dibenarkan untuk perkhidmatan dine-in semasa fasa peralihan.
Meja dan kerusi akan disusun semula mengikut SOP yang telah ditetapkan demi memastikan ia mematuhi penjarakan kira-kira 1.5 meter. – Gambar hiasan

Semasa fasa peralihan itu, negara akan menyaksikan pembukaan masjid, surau dan balai-balai ibadat, restoran, pejabat dan premis-premis manakala perkumpulan ramai adalah dibenarkan bagi mereka yang sudah menerima dos lengkap vaksinasi dengan SOP tertentu yang masih dikekalkan.

Selepas hampir empat bulan negara kita mengetatkan pelbagai aktiviti termasuk penutupan restoran untuk dine-in, kini dengan pengumuman tersebut kelihatan banyak tempat makan mula melakukan persiapan untuk menyambut kembali para pelanggan yang sudah boleh menikmati hidangan di premis masing-masing.

Malah persiapan mereka bukan se-takat menyusun semula kerusi meja sahaja tapi demi menjaga keselamatan bersama, kesemua kakitangan yang bekerja adalah dikehendaki untuk menjalani ujian saringan Antigen Rapid Test (ART) secara berkala setiap dua minggu.

Wakil Restoran dan Katering Bee Wah semasa temu bual online dengan Media Permata berkata, sejak pengumuman mengenai pembukaan semula restoran dalam fasa peralihan nanti merupakan berita menggembirakan untuk para pengusaha restoran.

“Penyediaan makanan yang panas dan segar untuk pelanggan adalah salah satu keutamaan kami bagi memastikan pelanggan merasa puas dengan perkhidmatan yang diberikan.

“Dengan pembukaan semula untuk dine-in ini, kami berharap akan dapat menaikkan semula jualan, memandangkan semasa pandemik, jualan telah menurun secara drastik,” ujarnya.

Menyentuh mengenai dengan persiapan, restoran Bee Wah akan memastikan kebersihan dan penyusunan kerusi meja mengikut SOP yang telah ditetapkan. Tambah beliau, di samping melakukan persiapan pembukaan semula restoran, persiapan mental bagi pekerja-pekerja adalah penting agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Jelas beliau langkah-langkah keselamatan akan dibuat seperti memastikan penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan semasa memasuki premis, pengimbasan kod QR, pemeriksaan suhu badan, dan menunjukkan keterangan dua dos vaksinasi.

Menurut Pengurus Restoran Sotorindu cawangan Sengkurong dan Sotorindu Baker, Hajah Nurul Nadia Syazalina binti Haji Zainal berkata merasa sangat gembira kerana orang ramai boleh mula menikmati hidangan mereka secara dine-in pada 19 November ini.

Dalam perkara ini beliau sedikit sebanyak menekan beberapa perkara mengenai keselamatan pelanggan semasa pembukaan semula berkenaan. Jelas beliau, persiapan sebelum 19 November adalah mengatur semula meja dan kerusi mengikut SOP yang telah ditetapkan, demi memastikan ia tidak melanggar jarak selamat selain prosedur keselamatan lain seperti memakai pelitup muka dan pengimbasan kod QR serta memeriksa suhu badan.

Meskipun pembukaan semula restoran untuk dine-in, jelas Hajah Nurul Nadia Syazalina, kemasukan pelanggan adalah dihadkan walaupun restoran berkenaan boleh menampung 100 pelanggan dalam satu masa, namun untuk memastikan keselamatan bersama, hanya 50 peratus pelanggan dibenarkan masuk ke dalam restoran.