Pengusaha Zambia cipta kasut harga berpatutan

LUSAKA – Mendapatkan kasut dengan harga yang berpatutan adalah suatu cabaran bagi keluarga berpendapatan rendah dan juga beberapa individu di Zambia.

Namun, bagi kebanyakan penduduk daerah Kafue, yang terletak di bahagian selatan Lusaka, ibu kota Zambia, cabaran itu sepertinya dapat dihadapi lebih dari dua dekad yang lalu ketika Tusole ditubuhkan. Tusole merupakan syarikat Zambia yang membuat pelbagai jenis kasut kulit khas yang berpatutan dengan nama kasut Mosna.

Pemilik syarikat Moses Nachibanga, 61, mengungkapkan dia terpaksa menceburkan diri dalam perniagaan membuat kasut setelah menghadapi cabaran mencari kasut dengan harga yang berpatutan untuk anak-anaknya. Pengalaman itu mendorongnya untuk meninggalkan pekerjaannya dan mula membuat kasut.

“Saya tidak memiliki cukup wang untuk membeli kasut sekolah untuk anak-anak saya, oleh itu saya meminta tukang membaiki kasut untuk membuatnya. Walaupun alat-alat yang digunakannya biasa sahaja, saya melihat adanya potensi dan memutuskan untuk bekerjasama dengannya. Saya membeli peralatan yang sesuai dengan menggunakan wang dari pakej persaraan awal saya,” jelas Nachibanga.

Dia menunjukkan apa yang dimulai sebagai inisiatif yang bertujuan menyediakan kasut yang berpatutan kepada keluarga berpendapatan rendah di daerah Kafue telah berkembang menjadi perusahaan yang menarik pelanggan dari segenap lapisan masyarakat.

Para pelanggan melihat kasut yang dibuat oleh Tusole. – Xinhua
Moses Nachibanga (kanan), pemilik Tusole, mengarahkan seorang pekerja di Kafue, Zambia. – Xinhua

“Kami bertekad untuk memastikan setiap sepasang kasut tidak hanya selesa tetapi juga rapi dan tahan lama. Setiap kasut dibuat dari awal, orang ramai hanya membawa reka bentuk pilihan mereka dan kami membuat kasut itu,” kata Nachibanga.

Dia menjelaskan Tusole telah ikut serta dalam sejumlah program pameran perdagangan dan pembuatan kasut di Zambia di mana ia telah mendapat penghargaan kerana inovasi kasut itu.

“Kami tetap terbuka untuk peluang memperluas rangkaian produk kami dan juga pasaran,” tambah Nachibanga.

Sebilangan penduduk daerah Kafue menyatakan mereka gembira dapat mengaitkan diri mereka dengan syarikat tempatan yang berusaha untuk menyediakan kasut yang tahan lama dan berpatutan.

“Saya telah mendapatkan semua kasut sekolah anak-anak saya dan juga kasut saya sendiri dari Tusole.

Salah seorang anak saya sekarang di kolej dan masih memakai kasut Mosna,” kata Elliot Masaka, 57.

Dan Moses Kalukayo, 56, mengatakan Tusole menunjukkan bahawa orang di daerah Kafue menikmati kasut yang berkualiti dengan harga yang berpatutan.

“Kasut berharga dua kali ganda dan kadang-kadang lebih mahal di tempat lain. Kami bernasib baik kerana mempunyai pengeluar kasut berkualiti yang mampu dimiliki oleh kebanyakan orang,” kata Kalukango. – Xinhua