Pengusiran lebih 2,000 PATI ditangguh kerana jangkitan di PTS

KALABAKAN, 5 OGOS – Kerajaan terpaksa menangguhkan pengusiran balik lebih 2,000 pendatang tanpa izin di Sabah ke negara asal susulan berlaku jangkitan COVID-19 dalam kalangan mereka yang ditempatkan di Pusat Tahanan Sementara (PTS).

Timbalan Menteri Dalam Negeri Jonathan Yasin berkata jumlah itu membabitkan pendatang tanpa izin dari Filipina serta Indonesia, masing-masing di PTS Sandakan dan Tawau. 

“Mengikut rekod, sepatutnya kira-kira 200 warga Indonesia diusir ke negara asal pada minggu ini, malah kapal yang membawa mereka juga sudah tiba di Tawau,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun, Jonathan berkata pihaknya mendapat permohonan daripada pihak berkuasa Indonesia supaya menangguhkan sementara penghantaran semula warga republik itu bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19. “Ini turut membabitkan kerajaan Filipina, dan menyebabkan kami menangguhkan sementara pengusiran kira-kira 2,000 warga penduduknya yang kini dalam tahanan di PTS Sandakan ke Zamboanga, Filipina,” katanya. – Bernama