Peniaga Afghanistan optimis eksport kacang ke China

MEHTARLAM, AFGHANISTAN – “Pengeksportan semula kacang pain ke China telah menggalakkan peniaga tempatan untuk terus melabur dalam benih yang menguntungkan bagi meningkatkan pendapatan mereka dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain,” kata peniaga Afghanistan, Noor Mohammad.

“Saya telah mengupah kira-kira 120 orang untuk mengumpul dan membersihkan kacang pain untuk saya setiap hari,” kata Mohammad, seorang penduduk wilayah Laghman di timur Afghanistan, kepada Xinhua.

Mohammad, 42, menyifatkan China sebagai pasaran yang baik untuk kacang pain Afghanistan dan mengalu-alukan penyambungan semula eksport benih menguntungkan itu melalui koridor udara ke negara jiran itu.

“Eksport kacang pain ke China membawa kepada kenaikan harga benih, jika tidak harga akan turun dan peniaga kacang pain akan menderita,” kata ahli perniagaan tempatan itu.

Koridor udara antara Afghanistan dan China dilancarkan pada November 2018 bertujuan untuk meningkatkan perdagangan dan hubungan ekonomi, tetapi ia digantung selepas kejatuhan pentadbiran Afghanistan yang disokong Amerika Syarikat ke tangan Taliban pada pertengahan Ogos tahun ini.

Petani Afghanistan menuai kacang pain di Mehtarlam, ibu kota wilayah Laghman, Afghanistan. – Xinhua

Afghanistan menyambung semula eksport kacang pain ke China pada akhir Oktober melalui koridor udara dan penerbangan pertama membawa 45 tan benih ke negara jiran, menandakan eksport pertama dari Afghanistan ke China sejak pengambilalihan negara itu oleh Taliban.

“Lebih banyak eksport kacang pain ke China akan memberi manfaat ekonomi kami di dalam negeri,” kata Mohammad, sambil menambah dengan peningkatan eksport kacang pain ke China, harga benih akan meningkat dan lebih ramai peniaga tempatan akan digalakkan untuk melabur.

Seorang lagi peniaga Afghanistan, Rahimullah berusia 38 tahun berkata negara itu berada pada tahap kritikal di mana kemiskinan, pengangguran dan ketidaktentuan telah menambah penderitaan rakyat Afghanistan yang letih berperang, yang kebanyakannya hidup di bawah garis kemiskinan.

Selepas pengunduran tentera asing yang diketuai AS dan penubuhan kerajaan sementara Taliban, Afghanistan menghadapi pelbagai masalah ekonomi termasuk aset dibekukan di AS dan aktiviti bank disekat di dalam negara.

Lebih 22 juta daripada kira-kira 35 juta penduduk Afghanistan akan menghadapi kekurangan makanan pada musim sejuk akan datang, menurut Program Makanan Sedunia (WFP).

“Eksport kacang pain ke China telah menimbulkan harapan di kalangan peniaga tempatan untuk melabur dalam benih yang menguntungkan dan itulah sebabnya saya telah mengupah kira-kira 150 pekerja harian bekerja untuk saya setiap hari membersihkan kacang itu,” kata Rahimullah kepada Xinhua.

“Adalah menjadi hasrat saya untuk melihat peningkatan dalam eksport kacang pain ke China kerana lebih banyak eksport dan lebih banyak keuntungan akhirnya akan memperbaiki keadaan ekonomi dan keadaan hidup kita,” katanya. – Xinhua