Peniaga asing boleh ke Sabah

KOTA KINABALU, 25 JUN – Kerajaan Sabah membenarkan peniaga dan pelabur asing masuk ke negeri itu mulai hari ini, demikian menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Bagaimanapun, katanya, mereka dikehendaki mengisi borang pengisytiharan kesihatan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

“Kebenaran ini juga tertakluk kepada Peraturan-peraturan Jabatan Imigresen Malaysia (Negeri Sabah) dan pihak yang berwajib,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, katanya,  kerajaan negeri juga membenarkan pengoperasian beberapa aktiviti sukan dan riadah termasuk renang dan snuker seperti biasa mengikut SOP ditetapkan pihak berkuasa. – Bernama