Wednesday, December 4, 2024
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peniaga daging patuh arahan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Para peniaga daging di Pasar Gadong didapati telah mematuhi Arahan Penetapan Harga Bermusim (PHB) dan Peraturan Paparan Harga semasa lawatan susulan daripada Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna (JPHEP), Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) pada 5 Jun lalu.

    Menurut kenyataan JPES hari ini, semua peniaga daging kerbau dan lembu di Pasar Gadong didapati mematuhi Arahan PHB ke atas isi daging lembu dan kerbau yang ditetapkan pada harga maksimum $13 sekilogram sehingga 11 Jun.

    Pemeriksaan tersebut turut mendapati tanda harga dipaparkan dengan jelas dan teratur yang menunjukkan harga isi daging yang dikawal dan isi daging mengikut portion cut dan premium cut, bagi membantu pengguna membuat keputusan pembelian.

    JPHEP memuji akan kepatuhan yang ditunjukkan oleh para peniaga ke atas arahan kerajaan ini. Sebelum lawatan susulan itu dijalankan, peniaga-peniaga daging pernah diberi amaran bagi mematuhi Arahan PHB sebelum ini.

    Oleh yang demikian, para peniaga disarankan untuk terus mematuhi arahan kerajaan dan sentiasa memastikan amalan perniagaan beretika dilaksanakan setiap masa, termasuk memaparkan tanda harga yang betul dan jelas bagi memastikan ketelusan harga ke arah menjaga kesejahteraan para pengguna.

    Walau bagaimanapun, para peniaga adalah digalakkan untuk terus menawarkan harga kompetitif kepada pengguna. Manakala, bagi mendapatkan nilai pembelian terbaik, pengguna disarankan untuk membuat perbandingan harga ke atas daging atau barangan makanan lain yang ditawarkan di pasar-pasar dan gedung perniagaan dan seterusnya memanfaatkan fungsi perbandingan harga dan juga senarai harga barangan yang dipantau oleh jabatan melalui PenggunaBijak dan juga laman sesawang rasmi JPES.

    Jika terdapat sebarang isu berkaitan Arahan PHB, orang ramai boleh berhubung terus dengan JPHEP melalui Talian Darussalam 123, aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau melalui e-mel kepada aduanpengguna@jpes.gov.bn.

    Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna dan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik semasa melakukan lawatan susulan di Pasar Gadong pada 5 Jun lalu. – Gambar serahan JPES
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda