Peniaga dibayar intip kerajaan Trump

WASHINGTON, 11 JUN – Seorang ahli perniagaan Emiriah Arab Bersatu yang dikaitkan dengan siasatan sumbangan haram dalam kempen politik Donald Trump dibayar oleh agensi risikan negaranya untuk mengintip pentadbiran presiden AS, lapor The Intercept semalam.

Rashid al-Malik menerima berpuluh-puluh ribu dolar sebulan kerana mengumpul maklumat mengenai dasar pentadbiran Trump terhadap Timur Tengah pada 2017, kata laman web itu, memetik bekas pegawai AS dan dokumen.

Beliau melapor balik kepada Perkhidmatan Risikan Negara UAE mengenai topik berkaitan negara Teluk, termasuk usaha AS untuk menjadi perantara dalam persengketaan Teluk yang membabitkan Qatar, serta mesyuarat di antara pegawai AS dan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman, menurut The Intercept.

Pada akhir tahun lalu, The New York Times dan Wall Street Journal melaporkan pendakwa persekutuan AS sedang menyiasat sama ada warga asing menyalurkan sumbangan kepada jawatankuasa utama Trump dan penubuhan tabung pro-Trump PAC.

Al-Malik, pengerusi firma pelaburan Hayah Holdings, ditemu bual oleh pejabat peguam khas Robert Muller sebagai sebahagian daripada siasatan, menurut New York Times. – AFP