Peniaga, majikan disaran bersedia awal

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Para peniaga dan majikan di negara ini disarankan untuk mempersiapkan pekerja mereka dengan mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos atau vaksin lengkap sebelum negara bergerak ke fasa peralihan.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menekankan perkara itu semasa menjawab persoalan mengenai pembukaan ekonomi ketika negara menghampiri 70 peratus vaksinasi lengkap.

Menurutnya, pembukaan ekonomi akan dilaksanakan secara berperingkat sebaik sahaja mencapai jumlah peratusan tersebut dan selain vaksinasi, peniaga dan majikan juga disarankan memastikan tempat perniagaan mereka bersih.

Beliau juga menasihatkan mereka untuk membuat pelan kelangsungan perniagaan (BCP) bagi memastikan perniagaan mereka tidak ditutup jika berlakunya penularan atau pekerja mereka dijangkiti COVID-19.

Yang Berhormat Dato juga mengongsikan kenyataan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang membolehkan peniaga membuat permohonan untuk mengambil pekerja asing bagi memastikan perniagaan mereka terus berjalan terutama apabila BCP perlu dilaksanakan.

“Diharap peniaga akan dapat mengambil kesempatan ini sementara menunggu ekonomi buka secara berperingkat apabila mencapai 70 peratus,” tambahnya.