Peniaga pasar malam terkesan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Bulan Ramadan pada tahun ini terasa jauh berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya dengan ketiadaan gerai-gerai Ramadan berikutan pandemik COVID-19.

Pasar Pelbagai Barangan Gadong yang masih dibuka sehari sebelum bulan puasa bermula, turut ditutup sebagai usaha mengawal penularan wabak berkenaan di negara ini.

Salah seorang peniaga yang ditemu bual melahirkan rasa terkilan dengan pengumuman penutupan pada saat-saat akhir di mana menurutnya, kebanyakan peniaga telah membeli segala keperluan bahan untuk perniagaan di pasar berkenaan.

“Sepatutnya peniaga dimaklumkan lebih awal bagi mengelakkan pembelian barangan keperluan berniaga untuk bulan Ramadan ini terutama dalam pembelian barangan mentah yang mana kebanyakan peniaga telah mempersiapkan membeli barangan mentah seperti ayam pedaging untuk stok satu minggu,” ujarnya.

Beliau seterusnya menambah, ada peniaga telah berbelanja ribuan ringgit, untuk stok barangan seperti minyak, bawang, barangan mentah dan lainnya sebagai persiapan jualan Ramadan di pasar berkenaan.

Pasar Pelbagai Barangan Gadong yang biasanya menjadi tumpuan kelihatan lengang berikutan penutupannya sepanjang Ramadan ini. -Gambar oleh Rahwani Zahari

Menurut beliau, lazimnya hasil jualan pada bulan Ramadan akan berganda berbanding bulan-bulan biasa.

“Dalam keadaan negara berdepan dengan pandemik yang menjejaskan pelbagai pihak terutama peniaga kecil, kami terpaksa menggunakan alternatif lain untuk mendapat sumber pendapatan yang bukan saja untuk diri sendiri tetapi untuk membayar gaji pekerja dan memastikan pulangan modal perniagaan,” tambahnya.

Beliau mengongsikan bahawa pendapatan telah menurun sejak kes pertama dikesan di negara ini dan akibat kesan tersebut, ada peniaga terpaksa menggunakan wang simpanan mereka untuk membeli barang keperluan termasuk membayar gaji pekerja dan tidak pasti sampai bila akan bertahan.

“Pada masa ini, kami menggunakan alternatif lain dengan menawarkan pick-up dan penghantaran dari rumah yang mana media sosial seperti Instagram dan platform Group Chat makanan untuk mempromosi produk kepada pelanggan berikutan penutupan Pasar Pelbagai Barangan Gadong.

“Ada juga pelanggan yang sempat meminta nombor telefon dan bertanya perkhidmatan yang ditawarkan sepanjang penutupan pasar berkenaan,” ujarnya.

Beliau seterusnya berharap dan berdoa agar pandemik ini akan berakhir dengan cepat supaya semua akan dapat melakukan aktiviti dan perniagaan akan kembali seperti sebelumnya.

“Kami juga ingin terus mengambil pekerja tempatan yang mana setakat ini, kami mempunyai seorang pekerja ibu tunggal, ibu yang mempunyai anak ramai dan belia,” tambahnya.

Pemilik The Grill Journal, Raghadah Agus, 31, yang telah beroperasi lebih 20 tahun dan terkenal dengan makanan sate panggang dan skewers turut menyatakan bahawa hasil jualan bulan Ramadan ini biasanya berganda dari hari-hari biasa.

“Berikutan dengan COVID-19 ini, kami telah menggunakan alternatif lain dengan membuat perkhidmatan penghantaran dan pick-up tapi hasil jualan tidaklah sama dengan berniaga secara langsung kerana masanya terhad,” kongsi beliau ketika ditemu bual.

Katanya lagi, pada peringkat permulaan, keluarganya kurang berminat dengan media sosial tapi sejak menyertai keluarga dalam menjalankan perniagaan ini, beliau dapat membantu mempromosi jualan produk namun penerimaan tempahan penghantaran barang terpaksa dihadkan.

“Bagi warga emas yang tidak tahu menggunakan media sosial dan bertuah jika mempunyai anak yang celik IT dapat membantu mereka tapi jika sebaliknya, mereka terpaksa menghentikan perniagaan mereka buat sementara,” tambahnya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga menyatakan bahawa penutupan mendadak pasar malam itu mengejutkan peniaga-peniaga dan mereka terpaksa membuat alternatif lain untuk mempromosi produk.

“Sebelum ini ada pihak yang mencadangkan untuk membantu perniagaan di pasar malam ini dengan membuat perniagaan secara pandu lalu berikutan dengan COVID-19 bagi membuat penjarakan sosial tapi disebabkan pasar malam ditutup sepanjang bulan Ramadan, hasrat tersebut terhenti.

“Walaupun begitu, kami berbesar hati menerima arahan untuk tidak membuka pasar malam dalam usaha menyokong inisiatif Kementerian Kesihatan dalam mengawal penularan COVID-19 di negara ini,” tambahnya.