Peniaga, pelanggan saling tolak ansur

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Semasa penularan wabak COVID-19, para peniaga dan pelanggan perlu saling bertolak ansur dalam sama-sama menjaga kesejahteraan bukan sahaja para pelanggan tetapi juga para peniaga.

“Sekarang bukannya satu keadaan yang seperti biasa dan oleh itu, kita harus bekerjasama dalam sama-sama menangani segala permasalahan,” harapan itu dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa sidang media hari ini.

Beliau berkata lagi jika timbul sebarang masalah, kedua-dua belah pihak iaitu pelanggan dan peniaga atau syarikat perlu berbincang cara untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

Jika selepas mengadakan perundingan di mana ia mungkin tidak adil, para pelanggan boleh menghadapkan perkara itu kepada Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna (JPHEP) di bawah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik di mana pihak berkenaan dapat menolong sebagai pengantara bagi kedua-dua belah pihak untuk mencari satu penyelesaian yang terbaik.

Sebaik-baiknya, nasihat Yang Berhormat Dato, jika ada timbul sebarang permasalahan, kedua-dua belah pihak iaitu pengguna dan peniaga diharap akan dapat menyelesaikan perkara tersebut secara rundingan di mana mereka boleh bertemu JPHEP bagi membantu mencari penyelesaian yang terbaik.