Peniaga perlu ambil iktibar pengalaman di luar negara

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Tidak dapat dinafikan sebilangan perniagaan turut terjejas disebabkan penularan wabak COVID-19 ketika ini.

Perkara yang penting bagi perniagaan adalah untuk melihat ke hadapan daripada satu tempoh masa yang tertentu seperti penularan wabak COVID-19 dengan memastikan mereka masih mampu untuk beroperasi.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika mengulas mengenai sesetengah perniagaan yang terkesan oleh penularan wabak
COVID-19 disebabkan langkah pengawalan, semasa sidang media hari ini.

Oleh itu, peniaga-peniaga harus mengambil iktibar pengalaman dari luar negara untuk meletakkan diri mereka pada kedudukan bersedia dalam meraih peluang peningkatan aktiviti perniagaan apabila keadaan kembali semula.

“Itulah sebabnya kami menggalakkan perniagaan-perniagaan untuk tidak memberhentikan pekerja mereka,” jelas Yang Berhormat Dato lagi, ini adalah supaya jika peluang hadir, mereka tidak perlu untuk mencari dan melatih pekerja baharu.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Jika melihat sebilangan negara lain, katanya, mereka telah melaksanakan sekatan penuh, maka banyak perniagaan terpaksa ditutup dan tidak dapat dibuka semula kerana ia sekatan yang berpanjangan.

Dalam keadaan Brunei, ulasnya, apa yang perlu dilakukan ialah untuk mengatasi keadaan ini secepat mungkin dan kini, negara mula menyaksikan jumlah jangkitan menurun serta berharap apabila ia tiba ke peringkat yang wajar dan kita semua berasa selamat untuk kembali seperti biasa, maka perniagaan-perniagaan secara lazimnya akan kembali. Inilah masanya perniagaan itu harus merebut peluang yang ada, jelasnya lagi.

“Oleh itu, kita harus semua bekerjasama untuk menangani penularan wabak COVID-19 ini, secepat mungkin.”

Beliau berkata, dalam tempoh di mana perniagaan agak perlahan ini, para majikan dan pekerja boleh bekerjasama untuk merangka pelan strategik supaya apabila keadaan kembali seperti biasa, mereka akan dapat menonjolkan produk mereka serta manfaatkan peluang tersebut.

Ia juga merupakan peluang yang baik untuk melatih pekerja mereka dan juga untuk perniagaan merebut peluang e-dagang di mana semua ini adalah peluang yang boleh mereka terokai, tambahnya lagi.

“Kami berharap ini bukannya tempoh kawalan yang berpanjangan dan jika ia berpanjangan, setentunya pihak kerajaan perlu memikirkan sesuatu bagi membantu perniagaan yang terjejas.”

Pada masa ini, beliau menjelaskan, kita berada pada minggu keempat kawalan berkenaan dan terdapat juga perniagaan yang mula untuk mengambil pekerja baharu yang menunjukkan perniagaan mereka telah menyaksikan peningkatan berbanding sebelumnya.

Yang Berhormat Dato seterusnya berharap trend penurunan jumlah kes berkenaan akan dapat disaksikan pada hari-hari yang mendatang supaya kita boleh kembali kepada keadaan seperti biasa.