Peniaga restoran teruk terjejas, harapkan bantuan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Ketika negara berdepan gelombang kedua penularan wabak COVID-19, perniagaan-perniagaan terutamanya restoran teruk terjejas dengan larangan pelanggan dine-in.

Walaupun menyediakan perkhidmatan bawa balik dan penghantaran, masih banyak restoran yang bergelut untuk mendapatkan pelanggan dalam masa yang sukar ini di mana orang ramai dinasihatkan untuk taranah di rumah dan mengelak keluar rumah.

Pengurus Restoran Sotorindu Sengkurong, Hajah Nurul Nadia Syazalina binti Haji Zainal ketika dihubungi Media Permata berkata, hasil perniagaan selama 10 hari ini memang sangat-sangat terjejas dan menurun dengan mendadak berbanding dahulu.

Menurutnya, mereka terpaksa menutup dua buah cawangan mereka, memulangkan pekerja demi menstabilkan ekonomi dan untuk membayar pekerja yang masih bekerja.

“Hingga ke hari ini, kami terpaksa memberikan cuti tanpa gaji kepada beberapa orang pekerja dan hanya bebe-rapa orang pekerja penting sahaja masih tetap bekerja.

Pemandangan dalam sebuah restoran yang ditutup daripada kunjungan pelanggan.

“Memang terasa berat hati memberi cuti tanpa gaji kepada pekerja-pekerja kami, namun apa kan daya kerana pembayaran lain juga harus diberi keutamaan seperti membayar elektrik, sewa kedai, gaji pekerja yang lain,” ujarnya dengan menambah bahawa mereka yang diberi cuti itu tidak bererti diberhentikan, mereka akan kembali bekerja seperti biasa setelah situasi kembali membaik.

“Besarlah harapan kami sedikit sebanyak jika kerajaan boleh membantu peniaga-peniaga seperti kami. Kerana sumber pendapatan kami hanyalah daripada peniagaan kami ini sahaja,” ujarnya.

Menurut beliau, sejak kerajaan mengumumkan penularan wabak minggu lalu, mereka telah menutup perkhidmatan dine-in dan hanya mengambil pesanan secara dalam talian serta membuat penghantaran ke rumah-rumah bagi pelanggan yang membuat tempahan.

“Kami juga sedang merancang jika terjadinya situasi kecemasan seperti full lockdown,” ujar beliau dengan menjelaskan bahawa jika menghadapi situasi buruk, mereka akan menutup semua cawangan dan mungkin menutup pengambilan tempahan dalam talian juga, untuk menjaga keselamatan pekerja-pekerja dan pelanggan.

Dalam kesempatan itu, Hajah Nurul dan beberapa pemilik restoran yang juga mengalami situasi yang sama menasihatkan pekerja-pekerja restoran lainnya untuk sentiasa mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan air bersih atau sentiasa menggunakan pembersih tangan (hand sanitizer) setiap masa selain mengambil langkah berjaga-jaga untuk sentiasa mengingatkan para pekerja mengenai status kesihatan mereka dan mengelakkan tempat ramai orang.