Peniaga terkesan impak COVID-19

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Hampir tiga bulan negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan ini sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada hampir semua perniagaan di negara ini.

Antara perniagaan yang turut terkesan daripada wabak tersebut adalah perniagaan butik pengantin. Wartawan Media Permata berkesempatan menemu bual pemilik perniagaan butik pengantin, Dayang Nurhayana binti Abdullah. Beliau menjelaskan sebaik sahaja negara mengumumkan kes pertama COVID-19 pada awal bulan Mac lalu, banyak tempahan pelanggannya terpaksa dibatalkan dan ini sekali gus menyebabkan keadaan perniagaan mereka tidak menentu.

“Dengan perintah larangan untuk tidak mengadakan majlis keramaian seperti majlis perkahwinan bagi membendung penularan COVID-19 di negara ini telah menyaksikan ramai pasangan bakal pengantin telah membuat keputusan untuk membatalkan tempahan mereka,
“Malah ada sesetengah pelanggan kami yang membatalkan tempahan mereka meminta supaya wang deposit mereka dikembalikan sedangkan banyak perbelanjaan telah digunakan untuk membeli barangan keperluan yang diinginkan oleh pelanggan yang mana kebanyakan mereka menempah pakaian yang mengikut cita rasa mereka,” tambah beliau.

Tetapi, beliau menjelaskan bahawa mereka memahami situasi yang dialami oleh pelanggan, “Kami faham dengan situasi mereka (pelanggan), namun pada masa yang sama ia telah memberikan masalah kewangan kepada pengusaha.

“Walau bagaimanapun, masih ada pelanggan yang telah membuat tempahan dan membayar wang pendahuluan memahami situasi yang dihadapi oleh perkhidmatan perkahwinan ketika ini dengan memilih menukar tarikh tempahan baju mereka ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.”

Peniaga butik pakaian pengantin terkesan dengan pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini. Sesetengah pelanggan mereka telah membatalkan tempahan kerana tidak dapat mengadakan majlis perkahwinan dalam masa pandemik ini.
Perniagaan katering sesetengahnya menyediakan perkhidmatan makanan bawa balik bagi pelanggan yang membuat tempahan.

Sementara itu, wartawan Media Pertama turut berkesempatan untuk menemu bual pengusaha perkhidmatan katering.

Pengusaha terbabit menjelaskan walaupun negara ketika ini berdepan dengan ancaman COVID-19, tetapi masih ada pelanggan yang membuat tempahan katering dalam bentuk makanan bawa balik.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, apabila menjelang bulan Ramadan dan Syawal kami akan menerima banyak tempahan tetapi tahun ini agak kurang. Kami memahami bahawa orang ramai mematuhi saranan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan untuk tidak mengadakan sebarang perkumpulan atau menganjurkan majlis-majlis keramaian buat masa ini.

“Pada kebiasaannya, pada bulan Ramadan kami akan menerima sehingga tiga tempahan dalam masa sehari iaitu kesemuanya adalah majlis tahlil dan berbuka puasa tetapi tahun ini kebanyakan pelanggan kami membuat tempahan makanan yang disimpan dalam kontena kecil untuk dijadikan sebagai sedekah,” jelasnya.

Walaupun negara berhadapan dengan pandemik tapi perniagaan masih berjalan lancar dan berharap wabak ini akan reda dan negara akan kembali menjalankan rutin harian seperti biasa.