Peniaga terkesan kenaikan harga barangan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Fasa Peralihan yang menjadi langkah awal pembukaan semula perniagaan yang terjejas akibat gelombang kedua penularan COVID-19 pastinya melegakan para pengusaha namun ramai yang melahirkan keluhan mengenai kenaikan harga barangan.

Sementara itu, beberapa peniaga dan pengendali perkhidmatan katering yang ditemu bual rata-rata melahirkan rasa syukur kerana dapat kembali beroperasi setelah beberapa bulan ditutup.

Pengusaha perkhidmatan katering dari rumah, Awang Mohd Zafi, 35, ketika dihubungi berkata, dengan pembukaan ekonomi dalam Fasa Peralihan ini, beliau berharap perniagaan katering akan dapat berjalan dengan lancar dan baik setelah kebenaran untuk mengadakan majlis perkahwinan dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Ditanya mengenai respons orang ramai terhadap makanan yang dapat disajikan untuk acara keramaian dalam bentuk bungkus atau tapau, beliau berkata, ia mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai.

“Orang ramai memahami dan mengambil maklum tentang perkara tersebut seperti apa yang dijelaskan dalam garis panduan bagi perkhidmatan katering di mana dalam Fasa Peralihan ini tidak dibenarkan untuk hidangan bufet tapi diganti dengan tapau sahaja.”

Harga bahan mentah yang melonjak naik semasa gelombang kedua COVID-19 di negara ini, menimbulkan kebimbangan peniaga dan pengendali perkhidmatan katering.

Beliau berkata lagi, pengusaha kate-ring dan makanan pada masa ini kebanyakannya bergelut dengan masalah kenaikan harga barangan yang berganda daripada harga asalnya.

Menurutnya, kenaikan harga yang mendadak dan di luar jangkaan tersebut telah memberi impak kepada peniaga dan terpaksa menaikkan sedikit harga untuk setiap menu makanan malah ada juga peniaga kecil terpaksa menutup kedai bukan sahaja disebabkan kurang sambutan semasa tapi juga ketiadaan pekerja.

Katanya lagi, kenaikan harga tersebut bukanlah dinaikkan sesuka hati tapi ia disebabkan kenaikan harga barangan basah. Sebagai contoh, harga daging satu kilo sebelum pandemik dijual kurang daripada $9 tapi setelah gelombang kedua ini, harga tersebut boleh mencecah $14 hingga $16 sekilo.

Oleh itu, beliau berharap orang ramai dan pelanggan memahami situasi peniaga dengan keadaan semasa selain melihat kepada kos perbelanjaan seperti harga bahan mentah, pembungkusan dan pembayaran gaji pekerja.

Manakala itu, Haji Kamsani bin Haji Taha yang merupakan peniaga dari rumah ketika dihubungi menjelaskan, sejak gelombang kedua penularan, tempahan makanan siap dimasak mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai.

Menurutnya, mungkin pelanggan lebih suka barangan atau makanan yang dipesan itu dihantar ke kediaman mereka dan penghantaran tanpa caj, merupakan salah satu strategi dalam perniagaan.

Semasa gelombang kedua ini, jelasnya, kebanyakan orang lebih suka memilih untuk terus teranah di rumah dan memilih khidmat penghantaran makanan ke rumah adalah salah satu pilihan yang selamat kerana tanpa perlu bersemuka dengan penghantar barang dan kebanyakan pembayaran dibuat secara dalam talian.