Penilaian SAG bagi peperiksaan besar

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Kementerian Pendidikan memaklumkan bahawa pelaksanaan peperiksaan bertulis bagi Brunei Cambridge GCE ‘O’, ‘AS’, ‘A’ Level dan IGCSE sesi Oktober/November 2021 akan diganti dengan penilaian School Assessed Grades (SAG).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Kementerian Pendidikan menjelaskan bahawa SAG merangkumi markah pelajar sepanjang 2021 yang mana ia merupakan penilaian alternatif yang disediakan oleh Cambridge Assessment International Education (Cambridge International) dan telah diguna pakai bagi negara terjejas oleh wabak pandemik COVID-19 sejak 2020 yang mana penilaian berkenaan adalah sebanding dengan peperiksaan bertulis secara bersemuka.

Perlaksanaan berkenaan adalah selaras dengan nasihat dan kerjasama Kementerian Kesihatan dalam mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Kenyataan menyatakan, hasil penelitian dan perundingan bersama badan peperiksaan antarabangsa iaitu Cambridge International melalui penilaian alternatif itu akan membolehkan pelajar mendapat kelayakan atau gred.

Melalui kaedah itu juga, pihak sekolah akan menyertakan portfolio bagi setiap pelajar yang mengandungi tiga substantial work atau tugasan besar bagi setiap subjek.

Substantial work ini merupakan penilaian tugas pelajar sepanjang pembelajaran bagi tahun akademik 2021.

Ini termasuk tugasan seperti kertas soalan peperiksaan yang lengkap mengikut sukatan mata pelajaran dengan durasi satu jam atau lebih, kerja khusus yang lengkap mengikut sukatan mata pelajaran dan kombinasi soalan yang diambil daripada kertas peperiksaan terdahulu dan kertas soalan ujian kelayakan.

Selain itu, penilaian lain termasuk extended project work yang diberikan oleh pihak sekolah dan tugasan yang diberikan seperti esei, tugasan, masalah-masalah dan praktikal.

Pemilihan penilaian tugasan bagi substantial work pelajar adalah tertakluk kepada ketetapan pihak sekolah masing-masing.

Menurut kenyataan itu lagi, calon sekolah yang telah mendaftar bagi peperiksaan Peringkat ‘AS’ pada sesi Oktober/November 2021 ini akan diaturkan untuk menduduki peperiksaan tersebut pada sesi Mei/Jun 2022.

Manakala itu, bagi calon persendirian yang akan menduduki Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE ‘O’, ‘AS’, ‘A’ level dan IGCSE bagi sesi Oktober/November 2021, pendaftaran akan ditukar ke sesi Mei/Jun 2022.

Sehubungan itu, bagi calon persendirian juga dibolehkan untuk menarik diri sepenuhnya daripada peperiksaan Oktober/November 2021 tanpa perlu didaftarkan semula ke dalam peperiksaan sesi Mei/Jun 2022.

Kementerian Pendidikan mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga sekolah khususnya guru-guru, ibu bapa serta penjaga atas kerjasama bagi memastikan sesi penilaian bagi pelajar yang menduduki peperiksaan bagi sesi Oktober/November 2021 dapat diteruskan dalam format alternatif terutama dalam keadaan negara berhadapan dengan wabak COVID-19.

Untuk keterangan lanjut dan pertanyaan mengenai peperiksaan ini, pihak berkepentingan boleh menghubungi Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan di talian 2380630 atau 2380776 semasa waktu bekerja dan melalui e-mel [email protected]/bn atau [email protected]/gov/bn