Monday, February 17, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peninggalan arkeologi bantu tingkat kefahaman penyakit mental

    STARKVILLE – Beberapa buah kotak yang tersusun dalam makmal antropologi milik Molly Zuckerman dipenuhi dengan rangka manusia merangkumi bahagian tengkorak kepala, rahang atau kaki.

    Terdapat lagi beberapa kotak lain yang mengandungi serpihan yang digambarkan oleh Zuckerman sebagai ‘grit’.

    Ia dipercayai merupakan peninggalan daripada 7,000 jasad yang ditanam di kawasan bekas tapak rumah sakit jiwa di Mississippi di mana kini ia telah menjadi lokasi kepada Pusat Perubatan di Universiti Kebangsaan Mississippi (UMMC) di Jackson.

    Kumpulan penyelidik merancang untuk melakukan kajian terhadap tulang tersebut bagi memahami secara lebih lanjut berhubung dengan penyakit mental sekali gus berusaha dalam mencari langkah rawatan yang wajar diberikan.

    Sebagai penghormatan, mereka juga bakal melakukan upacara pengebumian yang lebih teratur dan membina sebuah tugu peringatan.

    Molly Zuckerman terus giat melaksanakan kajian terhadap rangka manusia yang telah ditemui di sekitar bekas tapak rumah sakit jiwa di Mississippi. – AP
    Lokasi penemuan jasad-jasad pesakit rumah sakit jiwa telah dikenal pasti dan dipercayai terdapat sekitar 7,000 jasad yang tertanam di kawasan bekas tapak rumah sakit jiwa itu. – AP

    “Rangka tulang yang yang ditemui ini dapat menggambarkan kehidupan dan tahap kesihatan pada biologi manusia di Mississippi dari era sebelum Perang Saudara hingga ke Pemulihan era Jim Crow. Kajian yang dilakukan terhadapnya setentunya akan dapat meningkatkan pemahaman berhubung mengenai bagaimana tahap kesihatan berupaya untuk terus berubah seiring dengan masa dan bagaimana pula beberapa faktor lain seperti kemiskinan, perkauman dan perkastaan telah mempengaruhi tahap kesihatan seseorang individu,” jelas Zuckerman yang bertanggungjawab di setiap operasi dalam bilik makmalnya di Universiti Kebangsaan Mississippi itu.

    Pusat Perlindungan Pesakit Mental Mississippi yang dinamakan semula sebagai Hospital Gangguan Mental Mississippi itu beroperasi dari tahun 1855 hingga 1935 di mana ia pernah menempatkan sebanyak 35,000 pesakit dari seluruh negeri itu.

    Mana-mana pesakit yang meninggal dunia sewaktu berada di dalam hospital itu dan mayat yang tidak dituntut oleh ahli keluarga akan hanya dikebumikan di kawasan hospital tersebut.

    Walaupun kumpulan penyelidik hanya memiliki maklumat yang terhad berhubung mengenai mayat yang dikebumikan pada tapak tersebut namun Zuckerman turut menjelaskan bahawa kebanyakan daripadanya memang menghidap penyakit siflis dan banyak mengambil bahan perubatan bagi membantu menangani gejala penyakit mental yang mereka hadapi.

    Selain itu ada juga di antara mereka yang mengalami masalah skizofrenia dan kemurungan mendalam dipercayai ada kaitan dengan faktor ekonomi atau perkauman yang secara tidak langsung telah menjejaskan tahap kesihatan mereka.

    Pada awalnya, rangka tulang di kawasan kampus universiti itu telah ditemui sejak awal tahun 1990-an.

    Namun, kerja-kerja pembinaan jalan yang dilakukan sejak tahun 2012 telah berjaya mempertemukan sebanyak lebih 3,000 jasad dan kebanyakan ahli arkeologi turut mengatakan bahawa terdapat kemungkinan bahawa ia boleh mencapai sehingga 7,000 jasad yang pernah dikebumikan di kawasan tersebut.

    Sebanyak tujuh universiti dari Mississippi dan Texas telah melakukan konsortium bagi melakukan penghormatan dan analisis terhadap rangka tulang yang telah ditemui.

    Pengarah Pusat Bioetik dan Perubatan Kemanusiaan UMMC, Ralph Didlake menjelaskan bahawa consortium itu telah dianjurkan sebagai tanda penghormatan kepada budaya, legasi, sejarah dan nilai saintifik tertentu.

    Didlake berharap untuk menerima dana sebanyak AS$2 juta bagi membiayai pelaksanaan projek tersebut.

    Setakat ini, sebanyak 66 jasad tersebut telah dikebumikan di tapak berdekatan dengan makmal Zuckerman.

    Zuckerman turut menjelaskan sebagai satu penghormatan setiap jasad tersebut telah dikebumikan dalam keranda dan kubur yang berbeza.

    Penolong Profesor, Anna Osterholtz menjelaskan bahawa kebanyakan rangka manusia yang tersimpan di dalam kotak tersebut adalah terdiri daripada rangka pesakit wanita dan ada tiga daripadanya jelas memperlihatkan kesan retak yang dipercayai akan kesan trauma berpanjangan.

    Osterholtz menjelaskan bahawa salah satu faktor yang menjadi penyebab kepada gejala tersebut adalah kerosakan otak kekal namun ianya tetap belum dapat dipastikan sama ada ia berlaku sebelum atau selepas seseorang pesakit itu dirawat di pusat rawatan ini.

    Salah seorang mahasiswa telah giat melakukan kajian terhadap bahagian rangka tulang bagi mencari bukti pellagara atau masalah kekurangan vitamin B dan ternyata perkara itu memang berjaya ditemui di mana ia secara tidak langsung menjadi penyebab kepada berlakunya masalah simptom demensia.

    Malah rangka yang ditemui juga berupaya untuk menunjukkan bukti penyakit kronik. Misalnya, siflis pada peringkat akhir dikatakan berupaya untuk menyebabkan tumor kecil di bahagian otak yang secara tidak langsung mewujudkan kesan lubang di bahagian tengkorak.

    Dari gigi pula, ahli antropologi dapat mengumpulkan maklumat berhubung mengenai amalan pemakanan dan turut memperlihatkan asal usul mereka.

    Walau bagaimanapun, proses pengenalan pesakit memang merupakan satu perkara yang agak sulit untuk dilakukan dan dari situ mereka telah membuat keputusan untuk tidak memberikan sebarang tanda pada keranda tersebut.

    Ahli antropologi memang telah berjaya menemui rekod pesakit namun proses analisis DNA yang ingin dilakukan setentunya memerlukan kos yang agak tinggi terutama apabila ia dilakukan pada rangka tulang yang telah berada di bawah tanah dalam tempoh beberapa dekad.

    Karen Clark yang telah mempelajari mengenai rekod dan salasilah keluarganya menjelaskan bahawa moyangnya, Isham Earnest telah dikebumikan di tapak tersebut.

    Clark juga turut mengakui bahawa dia tidak memiliki sebarang masalah berhubung mengenai kajian yang dilakukan dan berharap agar ujian DNA yang bakal dilakukan secara tidak langsung akan menemukannya bersama moyangnya.

    “Teknologi moden yang canggih wajar digunakan sebaiknya untuk memudahkan kajian ini,” jelas Clark.

    Zuckerman menjelaskan bahawa teknik rawatan terhadap pesakit mental di pusat perlindungan tersebut secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan fahaman dan perspektif baru dalam menangani masalah tersebut yang sering kali dikaitkan berhubung mengenai faktor perkauman, kemiskinan dan perkastaan.

    “Satu-satunya manfaat yang wajar diambil kira daripada peninggalan arkeologi ini adalah bagaimana maklumatnya dapat diguna pakai sebagai rujukan bagi menangani masalah yang sama di era moden ini mahu pun pada masa hadapan,” jelas Zuckerman. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda