Peningkatan bungkusan Pos M’sia, cecah 1.39 Juta pada Jun

KUALA LUMPUR, 15 JULAI – Pos Malaysia menerima jumlah penghantaran barang yang meningkat secara mendadak di Sabah dan Sarawak, sehingga mencecah 1.39 juta pada Jun.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, jumlah barang yang perlu dihantar ke Sabah dan Sarawak meningkat secara mendadak itu bermula pada Mei, iaitu sebanyak 791,000, berbanding 65,000 pada Mac.

“Pandemik COVID-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menyebabkan lebih ramai pengguna beralih kepada kaedah pembelian secara dalam talian.

“Ini menyebabkan peningkatan jumlah bungkusan yang diterima oleh Pos Malaysia, adalah jauh lebih tinggi daripada kapasiti memproses dan serahan sedia ada,” katanya ketika menjawab usul kamar khas Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.

Usul khas itu dibawakan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) yang bertanyakan mengenai jumlah sebenar peningkatan bungkusan barang di Sabah dan Sarawak, sehingga dikatakan sebagai peningkatan mendadak, susulan notis yang dikeluarkan Pos Malaysia sebelum ini.

Chan turut meminta jawapan mengenai tindakan kerajaan membantu Pos Malaysia dalam meningkatkan kapasiti, termasuk pengambilan lebih banyak kakitangan penghantaran atau pun melabur dalam lebih banyak kenderaan penghantaran.

Secara keseluruhannya pula, Saifuddin berkata kebiasaannya, Pos Malaysia menerima purata antara  tujuh hingga lapan juta barang sebulan, namun pada April lepas, jumlah bungkusan yang diterima meningkat secara mendadak kepada 12.7 juta item, iaitu peningkatan sebanyak 82 peratus berbanding bulan Februari.

Jumlah barangan pada Mei dan Jun pula kekal tinggi melebihi 10.8 juta sebulan.

“Keadaan ini telah memberi tekanan kepada kapasiti pemprosesan dan serahan barangan Pos Malaysia. Untuk makluman, Pos Malaysia mempunyai kapasiti pemprosesan bungkusan antara 300 ribu hingga 400 ribu barang sehari.

“Dengan peningkatan volum secara mendadak ini, Pos Malaysia kini perlu memproses item antara 600,000 hingga 800,000 item sehari, bersamaan peningkatan melebihi 100 peratus,” katanya. – Bernama