BOGOTA – Pada satu petang yang cerah dan panas, sekumpulan pekerja dari pihak kerajaan sedang berjalan-jalan di sekitar dataran yang paling terkenal dalam kalangan pelancong antarabangsa dan tempatan di Bogota dengan berpakaian sebagai burung merpati dan memakai paruh palsu yang menutupi hidung mereka.
Kumpulan ini dikelilingi dengan beribu-ribu burung merpati yang berterbangan di kawasan dataran itu dan meninggalkan najis-najis mereka di monumen yang megah berdiri di tengah-tengah dataran tersebut.
Dengan membuka sayap plastik mereka dan melakukan beberapa langkah persembahan ringkas, pekerja-pekerja ini mendesak para pejalan kaki yang terpesona dengan burung-burung ini untuk tidak memberi burung-burung ini makan di mana burung-burung merpati ini akan berkumpul di dataran ini dengan jumlah yang banyak setiap hari di kawasan Plaza Bolivar, sebuah dataran kolonial besar yang dikelilingi dengan katedral Roman Katolik dan bangunan-bangunan kongres yang menakjubkan di Colombia.
“Terlalu banyak burung merpati berada di kawasan ini,” kata Mauricio Cano, ahli biologi yang mengetuai kumpulan pekerja kerajaan itu. “Memberi burung-burung ini makan adalah buruk bagi manusia dan juga terhadap burung-burung ini,” tambah Mauricio kepada media AP.
Tidak memberi makan






Sementara itu, di bandar raya London telah cuba untuk menakut-nakutkan burung merpati ini daripada terus mendekati dan membanjiri kawasan stesen kereta api dengan memperbanyakkan burung helang di kawasan itu manakala di Paris pula mereka telah menggunakan kaedah kontraseptif untuk mengehadkan jumlah bilangan burung tersebut yang membanjiri kawasan tertentu.
Pihak kerajaan Bogota sedang giat berusaha untuk menentang populasi burung merpati melalui kempen Pendidikan dan kesedaran bagi mendesak orang ramai sama ada pelancong antara-bangsa atau penduduk tempatan untuk tidak memberi burung-burung ini makan.
Para pegawai mempercayai bahawa jika orang ramai berhenti memberi burung ini makan, ia akan berhenti berkumpul dan membanjiri kawasan dataran awam di mana sisa-sisa najis burung ini sedikit sebanyak telah merosakkan bangunan-bangunan bersejarah ini dan juga meletakkan kesihatan penduduk atau pelancong dalam bahaya dikhuatiri risiko pelbagai penyakit.
Burung merpati ini yang tidak berasal sepenuhnya dari Colombia tidak akan berkumpul dengan jumlah yang banyak jika kadar pembiakannya juga berkurangan.
“Kami tidak mahu memusnahkan kelompok burung-burung merpati ini,” kata Clara Sandoval, pengarah jabatan perlindungan haiwan di Bogota.
“Tetapi kami perlukan orang ramai untuk memberikan burung-burung ini peluang untuk kembali kepada tingkah lalu semula jadinya,” tambahnya.
Dalam satu kajian yang telah dilakukan oleh ahli biologi mengatakan bahawa burung-burung merpati yang berkeliaran dan membanjiri kawasan dataran itu semakin meningkat dan berganda setiap hujung minggu sehingga jumlahnya boleh mencapai sehingga 3,400 ekor burung merpati sebagaimana jumlah pelancong yang turut meningkat dan membanjiri kawasan ikonik di Colombia itu.
“Di beberapa kawasan, anda boleh menemui sehingga 33 ekor burung merpati berkeliaran di setiap ruang,” kata Cano. Namun usaha pihak kerajaan untuk meyakinkan orang ramai khususnya pelancong dan penduduk tempatan terhadap desakan itu merupakan satu pekerjaan yang sangat rumit malah mereka terus dipersoalkan dan seperti dipersalahkan.
Dilakukan sejak sekian lama
Memberi makan burung merpati dengan jagung dan mengambil gambar bersama burung-burung ini di kawasan Bolivar Square telah menjadi satu tradisi sejak beberapa dekad yang lalu. Kawasan dataran ini turut terdapat mereka yang menjual beg kecil yang berisi makanan burung merpati dan dijual dengan harga $1 untuk satu paket kecil.
“Saya telah berjaya membesarkan empat orang anak saya dengan melakukan pekerjaan ini,” kata Lilly Portilla, yang telah menjalankan perniagaan di kawasan plaza itu sejak 25 tahun yang lalu.
“Burung merpati telah lama berada di sini, jadi kenapa tiba-tiba Datuk Bandar datang ke sini untuk memberitahu kami untuk tidak memberikannya makan kerana ia boleh menyebabkan kekotoran,” tanya Lilly Portilla kepada media AP.
Pihak kerajaan Bogota telah menawarkan pelbagai peniaga-peniaga seperti Portilla untuk meneruskan berniaga di kawasan bangunan-bangunan awam, supaya mereka dapat menjual makanan ringan kepada pekerja-pekerja pejabat, bukannya makanan kepada merpati.
Selain itu, pihak kerajaan Colombia turut menawarkan latihan kemahiran khususnya kepada peniaga untuk mempunyai pilihan lain selain mengikut ibu bapa mereka dalam perniagaan ini khususnya terhadap kanak-kanak.
Namun kebanyakan peniaga mengatakan bahawa mereka tidak termasuk dalam program untuk penempatan semula pekerjaan. Selain itu, mereka juga tidak yakin untuk menjual makanan ringan kepada manusia dan mampu meraih keuntungan sebagaimana pekerjaan yang mereka lakukan sekarang ini.
“Saya hanya akan meninggalkan perniagaan ini jika sekiranya pihak kerajaan memberikan saya pencen persaraan,” kata Luz Melia Rodriguez yang berusia 65 tahun. “Saya telah melakukan pekerjaan ini selama lebih 50 tahun di kawasan ini,” tambah Luz kepada media.
Para pegawai turut berkata bahawa mereka telah mengharamkan perniagaan makanan burung merpati dari kawasan dataran ini jika mereka tidak menghentikannya secara sukarela.
“Kami perlu untuk memberi burung-burung ini maruahnya dan burung merpati ini harus kembali ke ruang yang lebih hijau di mana ia boleh mencari dan menikmati makanannya sendiri,” tambah juru cakap pegawai tersebut kepada media. – AP