Peningkatan KDNK Brunei

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Dengan harga minyak yang semakin pulih, Negara Brunei Darussalam menyaksikan peningkatan positif keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan berharap momentum positif bagi KDNK dan kepelbagaian ekonomi ini dapat terus dikekalkan.

Pengekalan ini dapat diteruskan dengan memperkukuhkan usaha melaksanakan projek-projek pelaburan langsung asing (FDI), menumpu pada sektor-sektor berpotensi besar untuk membangun seperti industri kreatif dan teknologi, pelancongan, hiliran minyak dan gas, perkhidmatan perniagaan serta pengeluaran halal.

Pada masa yang sama, Negara Brunei Darussalam amat beruntung menjadi sebahagian daripada blok ekonomi yang pesat membangun serta yang mengamalkan perpaduan bagi tujuan kemakmuran.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam ucaptama pada Perasmian Mesyuarat Majlis Perbankan ASEAN ke-48 yang berlangsung di Empire Hotel & Country Club, Jerudong, hari ini.

Namun begitu, ujarnya lagi, semangat kerjasama antara negara-negara ASEAN harus dirasai bersama di mana ia dapat menghubungkan pelbagai sempadan dan membangunkan industri supaya bukan sahaja memberi manfaat kepada kerajaan atau perniagaan tetapi harus juga menjangkau pengguna dan perniagaan baharu supaya manfaat itu dapat dikongsi bersama oleh seluruh penduduk ASEAN.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyampaikan ucaptama semasa Perasmian Mesyuarat Majlis Perbankan ASEAN ke-48 yang berlangsung di Empire Hotel & Country Club, Jerudong, kelmarin.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew ketika sesi bergambar ramai semasa Perasmian Mesyuarat Majlis Perbankan ASEAN ke-48, kelmarin.

Beliau menambah bahawa untuk memastikan pertumbuhan mapan ASEAN yang bersatu, setiap negara harus meneruskan usaha bersama dalam melaksanakan komitmen individu dan masing-masing serta berkembang bersama sebagai negara individu dalam sebuah blok ekonomi yang membolehkan mereka untuk menyumbang kepada pertumbuhan kompetitif ASEAN yang dinamik dan berdaya saing.

“Kita akan memerlukan kerjasama semua pihak di semua peringkat, termasuk Persatuan Perbankan ASEAN, untuk membina dan mengukuhkan lagi hubungan dan untuk mencapai amalan dan urus tadbir yang benar-benar terbaik, untuk memperjuangkan idea asal Deklarasi Bangkok bagi keamanan, kebebasan, keadilan sosial dan kesejahteraan ekonomi,” tambahnya.

Terdahulu dalam ucaptama itu, Yang Berhormat Dato menekankan bahawa bagi ASEAN mencapai potensi dan peluang untuk tumbuh serta terus berkembang sebagai sebuah blok ekonomi ia harus memberikan penekanan kepada pelaburan dalam masa hadapannya.

Dari segi perbelanjaan infrastruktur, beliau menyatakan bahawa harus memperbaiki infrastruktur yang sedia ada untuk menyokong urbanisasi yang pesat dan kesalinghubungan serantau untuk meningkatkan lagi aktiviti ekonomi dan perdagangan di antara negara-negara anggota.

Melabur untuk masa hadapan, ulasnya lagi, juga bermakna harus melabur dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang merangkumi hampir 90 peratus daripada aktiviti perniagaan dalam rantau ASEAN.

“Syarikat-syarikat Asia Tenggara yang disenaraikan yang mempunyai jualan tahunan $100 juta atau kurang, mempunyai jumlah pendapatan keseluruhan hampir AS$10 bilion iaitu peningkatan lebih daripada 20 peratus jika dibandingkan pada 2012.”

Oleh itu, Yang Berhormat Dato menyatakan, dengan pelaburan dan sokongan yang tepat daripada industri perbankan, dapat memupuk PMKS berkenaan supaya mereka dapat membangun menjadi syarikat gergasi di rantau ASEAN.

Beliau juga menyatakan bahawa melabur pada masa hadapan bermaksud harus mempersiapkan diri bagi revolusi industri ke-4 di mana Yang Berhormat Dato menyatakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah Baginda semasa Majlis Konvokesyen Universiti Brunei Darussalam, baru-baru ini, menyatakan bahawa untuk membangun menggunakan teknologi bagi merubah cara kehidupan, ia memerlukan semua pihak yang berkepentingan untuk beredar ke arah ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan dan memberikan penekanan kepada pembelajaran sepanjang hayat.

Sehubungan dengan itu, beliau menyatakan bahawa harus merangkul perubahan revolusi digital berkenaan di mana dengan penembusan Internet sudah mencapai kira-kira 58 peratus, Asia Tenggara mempunyai jumlah penduduk pengguna Internet yang paling pesat membangun di dunia di mana lebih daripada 125,000 orang pengguna baharu dicatatkan setiap hari sehingga menjelang 2020.

Pertumbuhan itu, jelasnya lagi, sebilangan besarnya datang daripada penggunaan mudah alih yang sudah menunjukkan kadar penembusan sebanyak 141 peratus.

Di Brunei, ulasnya, pertumbuhan signifikan penggunaan data mudah alih dijangkakan, oleh itu, matlamat utama adalah untuk menyediakan liputan yang lebih baik di dalam tahun-tahun yang akan datang.

Yang Berhormat Dato juga menyatakan bahawa ASEAN perlu berada di barisan hadapan revolusi digital berkenaan di mana ekonomi digital ASEAN mempunyai potensi untuk menambah kira-kira AS$1 trilion kepada KNDK menjelang 2025.

Oleh itu, untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang berkenaan, terdapat keperluan bagi mekanisme dan penyelesaian kewangan ditetapkan untuk perdagangan merentas sempadan bagi perkhidmatan dan barangan ASEAN yang ditawarkan.

Yang Berhormat Dato berkata bahawa di sinilah institusi kewangan utama dapat memainkan peranan mereka untuk memberikan sokongan kepada pertumbuhan progresif industri, negara dan pendudukan ASEAN bersama.