MOSCOW – Semenjak permulaan pandemik koronavirus, jumlah kedatangan meningkat di Martha and Mary Convent di bahagian tengah Moscow.
Rumah biara wanita dengan dinding berwarna putih itu merupakan salah satu pertubuhan amal terbaik Rusia yang memberikan bungkusan produk makanan secara percuma, di antara projek-projek lainnya.
“Sebelum pandemik melanda, kami menerima 30 hingga 40 orang sehari,” ujar Yelena Timoshchuk, sorang pekerja sosial di Miloserdie (Mercy) memberitahu kepada AFP, sambil bersandar pada sebuah meja bersisi dengan botol-botol minyak bunga matahari.
“Sekarang kami menerima sekitar 50 hingga 60 orang setiap hari. Ia merupakan beban kerja yang berat.”
Kebanyakan daripada para pelawat yang beratur untuk bungkusan berisi gula, gandum dan teh adalah pesara tetapi terdapat di kalangan mereka yang hilang pekerjaan atau gaji mereka dipotong.


Pandemik koronavirus telah memberikan satu tamparan baharu kepada ekonomi lembap Rusia, yang telah pun terjejas di bawah sekatan Barat, harga minyak rendah dan pelaburan korporat yang lemah.
Para pemerhati menyatakan kemiskinan yang meningkat, pendapatan yang merudum dan kekurangan sokongan kerajaan yang nyata semasa pandemik meningkatkan rasa ketidakpuasan dengan pemerintahan dua dekad dan menguatkan tentangan terhadap Presiden Vladimir Putin.
Menyahut seruan Alexei Navalny, pengkritik Kremlin yang dipenjarakan, berpuluh-puluh ribu orang telah mengadakan bantahan di seluruh Rusia sejak beberapa minggu yang lalu dan kumpulannya merancang untuk mengadakan lebih banyak bantahan sebelum pilihan raya parlimen pada September.
Pendapatan Rusia telah pun menurun sejak separuh abad yang lalu dan mengecut 3.5 peratus pada 2020, sementara nilai untuk barangan makanan asas meningkat.
Menyedari akan kemarahan yang meningkat berkaitan standard kehidupan yang menurun, Putin pada Disember memerintahkan para menteri untuk memperkenalkan langkah-langkah kecemasan mengawal perubahan harga barangan.
Walaupun dengan usaha kerajaan untuk mengekang inflasi, harga gula adalah 64 peratus lebih tinggi pada Januari berbanding setahun lalu.
Memakai topi merah menutupi rambut panjang bertocangnya, Sandra yang berusia 66 tahun telah berhenti untuk membeli-belah dan sebaliknya beralih ke bungkusan makanan percuma di Miloserdie.
“Kami tidak boleh membeli apa-apa lagi. Sebelumnya, saya mampu memberi makanan kepada burung-burung tetapi pada masa ini gandum juga mahal,” ujar pesara tersebut yang tidak mahu memberikan nama penuhnya.
Risiko telah meningkat
“Dari pandangan akibat politik, situasi semasa tidak menunjukkan sesuatu yang baik,” kata Igor Nikolayev, ketua analisis strategik di FBK GrantThornton.
“Risiko untuk pihak-pihak berkuasa telah meningkat.”
Warga Rusia yang lebih tua adalah sangat ‘sensitif’ mengenai peningkatan harga-harga kerana ia mengingatkan mereka kepada inflasi teruk semasa kejatuhan Soviet Union pada tahun 1991, ujar Nikolayev.
Beliau merasakan kerajaan Rusia berkemungkinan memperkenalkan satu pakej ekonomi baharu untuk mengatasi ketidakpuasan sosial sebelum pilihan raya parlimen.
“Mereka perlu melakukan sesuatu,” tambah Nikolayev.
Menurut satu tinjauan pendapat oleh pusat bebas Levada baru-baru ini, 43 peratus warga Rusia tidak menolak satu bantahan didorong masalah ekonomi, pada satu tahap sama seperti yang kali terakhir dilihat pada 1998 di negara itu.
Tinjauan itu juga mendapati 17 peratus responden bersedia untuk menyertai bantahan tersebut sendiri. Denis Volkov, timbalan pengarah di Levada menyatakan bantahan baru-baru ini menunjukkan kemarahan terhadap pihak berkuasa tidak hanya terhadap kerusi politik tetapi juga adalah disebabkan kesukaran ekonomi.
“Para pembangkang mahu untuk menunjukkan kekecewaan mereka terhadap pihak berkuasa, kebimbangan mengenai kekurangan prospek dan kebuntuan yang dihadapi negara, berdasarkan pandangan mereka,” tulis Volkov dalam Forbes edisi Rusia bulan lepas.
“Ini kerana pihak berkuasa tidak mempunyai sebarang tawaran menarik kepada parapenentang,” tambahnya. – AFP