Peningkatan kes jangkitan daripada rumah persendirian

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Kebanyakan kluster baharu yang membawa kepada peningkatan jumlah kes pada hari ini adalah daripada rumah-rumah persendirian.
Ditambah lagi dengan kes dalam kluster-kluster yang aktif pada sebelum ini yang juga kebanyakannya daripada rumah-rumah persendirian.

Peningkatan kes yang dicatatkan itu melihatkan banyaknya perjalanan yang dilakukan pada masa ini memandangkan kebanyakan kes positif adalah kontak atau mereka yang mengalami demam disebabkan telah melakukan perjalanan-perjalanan ke luar dan apabila tampil ke hadapan untuk membuat swab yang akhirnya mendapati keputusan mereka positif COVID-19.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menekankan bahawa peningkatan dan penurunan kes adalah tertakluk kepada masyarakat di negara ini.

Sekiranya masyarakat tidak mengikuti arahan dan masih berjalan-jalan maka penurunan kes akan sukar untuk dicapai serta akan berlarutan. 

Walau bagaimanapun, tambah beliau, vaksin diharap dapat menampung buat ketika ini sebagai salah satu usaha bagi mengawal penularan COVID-19 di negara ini,.