Peningkatan kualiti alam sekitar antara kesan pandemik, PKP

KUALA LUMPUR, 29 OKT – Pengurangan pergerakan manusia dan aktiviti perniagaan yang perlahan semasa pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan positif yang ketara kepada kualiti alam sekitar.

Merujuk perbandingan data diperoleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), laporan Tinjauan Ekonomi 2022 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, menyatakan kualiti alam sekitar khususnya udara dan air sungai meningkat dengan ketara semasa pandemik (2020) berbanding sebelum pandemik (2019).

Menurut laporan itu, walaupun pelaksanaan PKP bermula Mac 2020 pada awalnya dilihat telah memberi kesan negatif kepada ekonomi dan mendedahkan isu dalam beberapa industri, namun pandemik itu secara tidak langsung telah memberi kesan positif kepada alam sekitar.

“Analisis data mendapati selain daripada pengurangan bilangan lembangan sungai yang dicemari oleh ammonia nitrogen, jumlah lembangan sungai dianggap bersih daripada keperluan oksigen biokimia dan pepejal terampai juga meningkat dengan ketara pada 2020,” menurut laporan itu. – Bernama