MANILA, 14 JAN – Sekolah-sekolah di ibu negara Filipina, Manila diarahkan untuk menangguhkan kelas online seminggu ketika peningkatan koronavirus mencecah rekod dipacu varian Omicron yang mencengkam metropolis 13 juta penduduk itu.
COVID-19 menular di ibu negara dan wilayah sekitarnya, mencetuskan gangguan meluas ke atas perniagaan, perkhidmatan dan penjagaan kesihatan.
Arahan bagi sekolah-sekolah menangguhkan kelas online sehingga 22 Januari adalah untuk ‘meredakan bebanan kesihatan’ bagi guru dan pelajar, menurut memorandum dikeluarkan oleh jabatan pendidikan kawasan.
Ribuan guru dan pelajar sudah pun dijangkiti virus, menurut Alliance of Concerned Teachers yang menyambut baik ‘cuti kesihatan’ itu.
Dalam langkah jelas mengehadkan gangguan oleh Omicron dan bagi memastikan orang ramai kembali bekerja dengan lebih cepat, kerajaan juga mengurangkan tempoh pengasingan bagi orang-orang yang mempunyai simptom ringan jangkitan COVID-19 daripada 10 hari kepada tujuh hari.
Langkah menghentikan persekolahan dibuat beberapa hari selepas jabatan pendidikan memberikan sekolah-sekolah di seluruh negara kepulauan itu pilihan untuk menangguhkan kelas selama dua minggu bulan ini ketika Omicron membadai negara. Sekolah disambung pada November lalu sebelum ditutup semula sebulan kemudian. – AFP