Penipu kena penjara 9 bulan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Seorang lelaki dijatuhkan hukuman sembilan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, kelmarin, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menipu berhubung pembelian telefon pintar.

Hukuman terhadap tertuduh, Muhammad Nur Hafiz bin Haji Mohammad Yussof, 25, dijatuhkan Majistret Pengiran Hazirah binti Pengiran Haji Mohd Yusof.

Kejadian berlaku apabila tertuduh melayari Facebook pada 15 April 2020 dan berhubung dengan individu yang sedang menjual telefon miliknya.

Selepas mengatur pertemuan, tertuduh ditemani rakannya pergi ke kawasan salah sebuah restoran di Kampung Serusop untuk bertemu dengan penjual telefon itu.

Sebaik tiba, penjual telefon tersebut mendekati kereta yang dipandu tertuduh dan memberikan telefonnya kepada rakan tertuduh yang kemudian menyerahkannya kepada tertuduh untuk dilihat. Tertuduh terus memecut keretanya dan laporan polis terus dibuat.

Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman.

Telefon pintar yang telah dibawa lari oleh tertuduh.