Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penjaga gol temui ajal

    JAKARTA, 16 Okt – Bola sepak Indonesia mengharungi saat berduka selepas penjaga gol, Choirul Huda meninggal dunia selepas satu insiden pelanggaran dengan rakan sepasukannya di atas padang.

    Huda, 38, yang juga penjaga gol utama kelab Persela di Timur Jawa tumbang sejurus sebelum babak pertama perlawanan bertemu Semen Pedang, semalam selepas berlanggar dengan pemain tengah Brazil, Ramon Rodrigues.

    Rakaman video menunjukkan bapa kepada dua anak itu mengalami kesakitan di bahagian dada sebelum dikeluarkan dan dibawa ke hospital.

    Doktor berkata, dia berhenti bernafas dan mengalami serangan jantung.

    “Dia menerima rawatan kecemasan selama beberapa minit di hospital tetapi dia tidak boleh diselamatkan.

    Choirul Huda diusung untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut selepas bertembung dengan rakan sepasukannya dalam satu perlawanan di Surabaya. – AFP

    “Dia meninggal dunia sebelum jam 5 petang semalam,” kata pembantu jurulatih Persela, Yuhronur Efendi kepada AFP.

    Doktor berkata, pasukan perubatan cuba untuk menyelamatkan pemain veteran itu selama lebih sejam.

    “Choirul Huda mengalami trauma akibat pelanggaran dengan rakan sepasukan yang mengakibatkan dia berhenti bernafas dan mendapat serangan jantung,” kata doktor daripada hospital di Lamongan, Yudistiro Andri Nugroho dalam kenyataan.

    Nugroho berkata, Huda mengalami kemungkinan trauma di bahagian leher dan kepala susulan impak ke atas dada dan rahang bawahnya, selepas dia melompat ke arah kaki pemain yang sedang berlari kepadanya dan terperangkap dengan kaki Rodrigues.

    Ribuan peminat juga menggunakan media sosial untuk memberi penghormatan terhadap Huda yang dikenali peminat Persela sebagai “Satu Lelaki, Satu Kelab, Satu Cinta.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda