PHOENIX – Mungkin sudah terlambat untuk menghentikan Alzheimer yang dihidapi oleh mereka yang telah pun mengalami tahap mental yang semakin merosot.
Namun jika rawatan boleh disasarkan pada perubahan otak yang paling awal ketika memori dan kemahiran berfikir masih tidak rosak, harapan mencegah penyakit itu mungkin dapat dilakukan? Dua kajian besar telah dijalankan untuk mengujinya.
Klinik-klinik di seluruh AS dan beberapa negara lain sedang mendaftarkan peserta dalam satu-satunya kajian yang mendaftarkan warga emas yang masih sihat.
“Keterujaan dalam kajian Alzheimer buat masa ini adalah pencegahan,” ujar Dr Eric Reiman, pengarah eksekutif Institut Banner Alzheimer di Phoenix, yang mengetuai usaha ini.
Setakat ini sains telah gagal mencari ubat yang boleh mengubah pergerakan Alzheimer, fasa paling biasa dalam demensia; 146 percubaan telah gagal dalam tempoh dekad lalu, laporan industri yang diperolehi baru-baru ini.



Malah ubat yang membantu untuk membuang plak lekit yang menyumbat otak manusia yang menghidap penyakit itu belum terbukti mampu untuk menghindari tahap kemerosotan mental.
Mungkin mereka mencubanya pada tahap yang sudah lewat, seperti mengurangkan kolestrol selepas seseorang mengalami serangan jantung yang kerosakannya tidak dapat boleh dirawat lagi, menurut Reiman.
“Apa yang diketahui mengenai kajian ini adalah ia sememangnya mencabar, jika kita benar-benar mahu muncul dengan terapi yang akan mengubah suai penyakit itu, kita perlu memulakannya pada tahap yang sangat-sangat awal,” kata Dr Eliezer Masliah, Ketua Neurosains di Institut Kebangsaan berhubung Penuaan.
Agensinya membiayai kajian pencegahan bersama Pertubuhan Alzheimer, beberapa yayasan, serta Novartis dan Amgen, pengeluar dua jenis ubat yang sedang diuji kaji.
Matlamat utamanya adalah untuk cuba menyekat langkah-langkah paling awal pembentukan plak dalam otak individu yang sihat yang tidak menunjukkan simptom demensia namun berisiko lebih tinggi untuk menghidapinya kerana usia dan gen yang membuatkannya lebih berkemungkinan.
Untuk menyertainya, seseorang itu hendaklah terlebih dahulu menyertai GeneMatch, daftar sulit rakyat yang berminat untuk menjadi sukarela bagi pelbagai kajian Alzheimer yang berusia 55 hingga 75 tahun dan belum disahkan menghidap sebarang kemerosotan mental.
Mereka diperiksa bagi menyelidiki gen APOE4, yang tidak mendorong seseorang itu daripada mengalami Alzheimer tetapi meningkatkan risiko itu.
Kira-kira seorang dalam empat orang mempunyai satu salinan gen dan kira-kira 2 peratus mempunyai dua salinan, seorang dari setiap ibu bapa.
Lebih 70,000 orang telah mendaftarkan diri sejak pendaftaran bermula tiga tahun lalu, menurut Jessica Langbaum, salah seorang ketua kajian Banner.
“Kebanyakan mereka mendapat penyakit itu secara peribadi atau pun mempunyai anggota keluarga atau teman rapat yang menghidapnya,” jelasnya.
Ibu Langbaum, Ivy Segal, 67 tahun telah memberikan contoh DNA menerusi cheek swab (spesimen rembesan yang diambil dengan kapas) dan menyertai pendaftaran pada Ogos lalu.
Ayahnya adalah pesakit di Banner dan meninggal dunia akibat Alzheimer dalam tahun 2011 pada usia 87 tahun.
Melihat keadaan ayah, dari seorang lelaki yang sopan santun dengan senyumannya menceriakan suasana, menjadi bagaimana keadaannya sehingga dia meninggal dunia sememangnya amat meruntun jiwa, ujarnya lagi.
Berada dalam GeneMatch bukanlah bermakna kita akan mengetahui jika kita mendapat gen.
Namun berada dalam salah satu dari dua kajian pencegahan, orang pasti bersetuju untuk mengetahui status APOE4 mereka dan sekurang-kurangnya mempunyai satu salinan gen.
Para peserta menjalani imbasan otak berkala, ujian memori dan pemikiran setiap enam bulan. Mereka diberikan ubat percubaan atau versi plasebo ubat itu selama beberapa tahun.
Satu kajian menerima pendaftaran mereka yang mempunyai dua salinan gen. Mereka sama ada disuntik ubat setiap beberapa bulan yang dihasratkan untuk membantu membebaskan sistem kekebalan membersihkan plak dari otak atau pil ubat harian yang dihasratkan untuk mencegah langkah pertama pembentukan plak atau versi plasebo rawatan percubaan ini.
Satu lagi kajian melibatkan mereka samada mempunyai dua salinan APOE4 atau satu salinan gen serta bukti dari imbasan ke atas plak otak yang mula terbentuk. Mereka akan mendapat salah satu dari dua dos ubat untuk mencegah pembentukan atau pil plasebo.
Larry Rebenack, 71 tahun, dari pinggir bandar Phoenix, Arizona, telah menyertai GeneMatch pada Ogos lalu.
“Saya mempunyai ramai kawan dan kenalan yang saya lihat semakin berada dalam keadaan merosot termasuklah seorang yang mula kebingungan tentang laluan ke padang golf yang telah bertahun-tahun lamanya dengan selamat mereka datangi dan seorang yang bukan sahaja lupa di mana dia meletakkan keretanya, malah tidak ingat apakah jenis keretanya. Itu adalah penyakit yang merampas sedikit dari bahagian anda setiap hari,”ujar Rebenack.
Rebenack memutuskan untuk mengetahui sama ada dia mempunyai gen jika para penyelidik memberikannya peluang untuk mengetahuinya.
“Ia seperti mana-mana maklumat lain. Ia membantu anda merancang kehidupan dan juga melindungi insan-insan kesayangan anda,” tambah Rebenack. – AP