Penjagaan ubat dan makanan bagi banduan warga emas

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac- Sehingga 13 Mac 2019, jumlah penghuni penjara warga emas adalah seramai 21 orang daripada jumlah keseluruhan warga penghuni penjara di mana dari jumlah itu seramai 12 orang di Penjara Maraburong Fasa 1, lima orang di Penjara Maraburong Fasa 3 iaitu lelaki dan empat orang di Penjara Wanita.

Perangkaan itu didedahkan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong ketika menjawab persoalan mengenai penghuni penjara warga emas serta program-program yang disediakan bagi mereka yang dikemukakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad semasa Persidangan MMN pada hari kelima di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa program-program yang dijalankan di institusi-institusi penjara, penghuni warga emas berkenaan mengikuti program pemulihan fizikal termasuk bersukan dan bersenam mengikut jadual harian, pemulihan kerohanian (spiritual) yang merangkumi kegiatan keagamaan seperti pendidikan agama Islam termasuk menghafaz Al-Quran, sembahyang fardu lima waktu dan pada bulan Ramadan akan mengikuti sembahyang Sunat Terawih dan bertadarus.

“Kemudian terdapat juga program pemulihan psikologi bagi bimbingan dan motivasi penghuni berkenaan iaitu kaunseling individu dan kaunseling berkelompok.

“Walau bagaimanapun bagi penghuni warga emas yang mengalami masalah kesihatan, penyertaan mereka dalam mana-mana program pemulihan yang telah digariskan terutama dalam mengikuti program-program vokasional adalah tertakluk kepada tahap kesihatan, hasil pemeriksaan dan pengesahan daripada pegawai kesihatan,” tambahnya.

Menyentuh mengenai penjagaan bagi penghuni penjara warga emas berkenaan, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar menjelaskan bahawa penjagaan mereka diutamakan dari segi perubatan dan pemakanan dengan mengambil kira keadaan mereka.

“Misalnya, pihak institusi penjara ada menyediakan peruntukan makanan mudah dikunyah, soft diet, khusus bagi banduan warga emas dan dalam masa sama, pemeriksaan kesihatan ke atas mereka kerap dijalankan oleh pegawai perubatan secara berjadual bagi memastikan keadaan fizikal dan mental mereka, sentiasa terjaga sepanjang menjalani tempoh hukuman di institusi-institusi penjara,” jelasnya.