Penjaja tamu hujung minggu terkesan pandemik

Oleh Lyna Mohamad

TUTONG, 6 OKT – Sejak penularan gelombang kedua pandemik COVID-19 di negara ini, ramai penjaja di pasar hujung minggu Gadong terkesan berikutan sekatan yang dilaksanakan bagi membendung penularan wabak.

Dalam temu bual bersama pihak media, penjual pohon tumbuhan dan bunga meluahkan kebimbangan mengenai kesan langkah sekatan terhadap perniagaannya.

Dayang Zubaidah Abdullah dari Kampung Kupang berkata beliau bergelut untuk mengekalkan perniagaannya disebabkan oleh kekurangan sumber pendapatan untuk membayar kos penghantaran dan membayar gaji pekerja.

Beliau yang mengusahakan dua unit jualan di tamu hujung minggu itu, berkata beliau hanya mampu memperoleh pendapatan sebanyak $100 sehari sejak bermulanya gelombang kedua, pendapatannya susut berbanding sebelum pandemik iaitu kira-kira $1,000 sehari.

Beliau memutuskan untuk menyambung semula aktiviti peniagaan kerana beliau perlu menampung operasi syarikat landskap miliknya. Dayang Zubaidah juga menjual tanah dan baja, yang dibelinya dalam jumlah yang besar untuk dijual kepada pelanggan.

Ada kalanya beliau terpaksa menggunakan wang simpanan sendiri untuk melunaskan segala perbelanjaan.

Sementara itu, Hajah Pasah binti Subuh, yang juga menetap di Kampung Kupang, berkata beliau menyambung operasi jualan selepas beberapa bulan ditutup akibat risau mengenai kesihatannya.

Hajah Pasah, yang memulakan perniagaan enam tahun lalu, mengongsikan jumlah pengunjung yang berkurangan memberi kesan terhadap pendapatannya, yang sebelum ini kebiasaannya mampu memperoleh ratusan ringgit sehari namun kini sukar untuk memperoleh $100.

Selain itu, Dayang Diana, yang mengendalikan perniagaan milik ibu bapanya, berkata meskipun perniagaan tidak sebaik sebelum penularan, beliau masih merebut peluang untuk menjual pohon-pohon bunga daripada tidak melakukan apa-apa.

Antara peniaga yang berjual di tamu hujung minggu di Gadong.