Penjara 11 tahun akibat menipu

LOS ANGELES, 11 Sept – Seorang lelaki Kanada dijatuhi hukuman lebih 11 tahun penjara semalam selepas disabitkan bersalah menjalankan operasi telemarketing yang menipu sekurang-kurangnya 60,000 mangsa, kebanyakannya warga tua, dan memperoleh lebih AS$18 juta.

Mark Eldon Wilson, 57, dari Vancouver, British Columbia, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim S James Otero selepas perbicaraan lima hari Mac lalu.

Juri mendapati beliau bersalah melakukan penipuan mel dan talian kerana mendalangi skim merentasi sempadan yang menyasarkan mangsa Amerika Syarikat (AS) dengan menjual perkhidmatan perlindungan kad kredit palsu.

Ketika menjatuhkan hukuman 135 bulan penjara ke atas tertuduh, Otero menyatakan skop skim dan hakikat mangsa yang menjadi sasaran kebanyakannya warga tua.

Pendakwa raya berkata, antara 1998 dan 2001, Wilson dan syarikatnya menjual perlindungan yang tidak wujud pada harga AS$300 kepada lebih 60,000 mangsa di 37 negeri di AS, termasuk California.

Wilson menggunakan sebahagian wang untuk menampung kehidupan mewahnya termasuk membeli bot mahal, kereta dan berjudi di Las Vegas.

Beliau turut membuka akaun bank pesisir di Pasifik Selatan untuk menyembunyikan wang berkenaan, kata pendakwa. — AFP