Penjara 12 bulan curi coklat

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang mengaku bersalah kerana mencuri.

Timbalan Pendakwa Raya Hajah Mu’izzah binti Haji Sabli mendedahkan di hadapan Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman bahawa Mohammad Farik Fadillah bin Panjang telah mencuri lima kotak coklat dari salah sebuah pasar raya di Kampung Rimba pada jam 9:46 pagi, 4 September lalu.

Seorang jurujual di pasar raya tersebut menyedari kehilangan kotak-kotak coklat dan bertanya rakan sekerjanya sama ada coklat-coklat tersebut dijual pada pagi berkenaan.
Mereka terus memeriksa rakaman CCTV dan mendapati perbuatan tertuduh sebelum membuat laporan polis yang akhirnya membawa kepada penangkapan tertuduh.