Penjara 12 tahun, denda RM210 juta

KUALA LUMPUR, 28 JULAI – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 72 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun setelah Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan hukuman penjara itu dilaksanakan serentak.

Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga pertuduhan kes CBT dan setiap kes pengubahan wang haram manakala 12 tahun penjara serta denda RM210 juta, atau penjara lima tahun dalam kes menyalahgunakan kedudukan.

Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman pada 6:30 petang, setelah mempertimbangkan rayuan yang dikemukakan pihak pembelaan, permohonan pendakwaan untuk hukuman berat dan kenyataan ringkas tertuduh serta mengambil kira kepentingan awam.

“Saya turut mengambil kira sumbangan tertuduh kepada negara,” katanya.

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) melihat jamnya ketika tiba di kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjelang perbicaraannya pada 28 Julai 2020. – AFP

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan selesai, namun menaikkan jumlah jaminan sebanyak RM1 juta lagi dan mengarahkan ia dikemukakan esok. Sebelum ini, Najib diikat jamin RM1 juta.

Mahkamah juga memerintahkan bekas perdana menteri itu untuk melapor diri ke balai polis dua kali sebulan. Najib meninggalkan mahkamah pada 7:34 malam, bersama peguamnya. Terdahulu semasa perbicaraan, beliau melafazkan ‘sumpah laknat’ ketika merayu hukuman ringan dari kandang tertuduh hari ini.

Najib berkata sebagai seorang Muslim, meskipun beliau sebelum ini sudah melafazkannya pada peringkat awal perbicaraan kes itu, beliau sekali lagi mengulangi ‘Wallahi Wabillahi Wattallahi’.

“Saya tidak minta wang RM42 juta itu, saya tidak merancang untuk mendapatkan wang RM42 juta itu dan wang RM42 juta itu juga tidak ditawarkan kepada saya.

“Tidak ada keterangan atau saksi yang menyatakan demikian. Saya tidak mempunyai pengetahuan mengenai RM42 juta itu. Itu sahaja yang ingin saya katakan,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Najib, yang kelihatan tenang sepanjang prosiding itu, berkata beliau ingin merujuk kepada tempoh sembilan tahun beliau menjadi Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata sepanjang tempoh tersebut, negara makmur sehingga mempunyai pertumbuhan ekonomi yang amat memberangsangkan selama sembilan tahun berturut-turut yang berakhir dengan pertumbuhan sebanyak 5.9 peratus 2017. – Bernama