Penjara 12 tahun, edar, ambil dadah

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Seorang lelaki yang berdepan pertuduhan mengedar dan mengambil dadah dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Hukuman terhadap Salehudin bin Bakar, 47, diputuskan Ketua Hakim Dato Seri Paduka Steven Chong dan Hakim Muhammed Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli yang turut mengambil kira jumlah dadah yang terlibat, rekod terdahulu tertuduh, kelewatan membawa kes, tempoh reman dan pengakuannya.

Terdahulu, tertuduh mengaku bersalah mengambil dadah methamphetamine, bagaimanapun memohon untuk dibicarakan bagi tuduhan mengedar dadah sebaik membuat pengakuan tidak bersalah.

Dia bagaimanapun menukar pengakuan kepada ‘bersalah’ apabila tuduhan mengedar dipinda kepada tuduhan lebih rendah iaitu mengedar dadah methampetamine seberat tidak kurang daripada 39 gram pada saat terakhir di awal perbicaraan.

Fakta kes menyebut, tertuduh dan enam individu diberkas di sebuah rumah di Jalan Nenas Sanggol, Perpindahan Teres, Kampung Katok dalam serbuan yang dijalankan pasukan Biro Kawalan Narkotik pada 19 April 2015.

Tertuduh didapati memiliki 25 paket bahan kristal, gunting dengan beberapa paket plastik berzip, dua timbangan, beberapa resit barang kemas dan dompet yang me-ngandungi wang tunai bersama kad pe-ngenalan miliknya dan isteri.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendak-wa Raya, Pengiran Suzana binti Pengiran Abas dan Hajah Atiyyah binti PD Haji Abas manakala tertuduh diwakili Peguambela Haji Rozaiman bin DSLJ Haji Abdul Rahman.