Penjara 18 bulan, curi projektor

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Seorang lelaki yang me-ngaku bersalah atas pertuduhan melesapkan harta benda dan curi dijatuhi hukuman 18 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Kanan Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Abdul Rahman memutuskan hukuman itu terhadap Mohd Nurkhairul Fadzillah bin Ali Safari, 31 tahun.

Tertuduh didakwa mencuri projektor Viewsonic dari Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali dengan memasuki kawasan sekolah dalam kejadian sekitar Januari 2020.

Laporan polis dibuat salah seorang warga sekolah yang mendapati projektor itu hilang.
Pada 19 Januari 2020, tertuduh memasuki Universiti Teknologi Brunei dan mencuri satu projektor dari dalam salah sebuah kelas.

Salah seorang pelajar yang melihat tertuduh keluar dalam keadaan mencurigakan, telah melaporkannya kepada pengawal keselamatan bertugas.

Pengawal keselamatan pergi mendapatkan tertuduh namun tertuduh melarikan diri dan membuang projektor tersebut. Laporan polis kemudian dibuat pengawal keselamatan.
Tertuduh sebelum ini memiliki rekod kesalahan lampau. Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Hajah ‘Adzimah Mukarramah binti Haji Salleh.